Salam sejahtera,

Merujuk kepada perkara di atas, terlebih dahulu pihak JKR ingin merakamkan ribuan terima kasih terhadap keperihatinan pihak tuan ke atas masalah banjir di sekitar kawasan Pekan Jelapang.

Sebagai makluman pihak tuan, masalah ini bukanlah berpunca daripada saiz longkang tepi jalan JKR yang tidak sesuai dan tidak mampu menampung isipadu air di sekitar kawasan

banjir yang dimaksudkan oleh pihak pengadu, malahan punca utama yang dapat dikesan oleh pejabat ini adalah pembuangan air yang tidak terkawal dari persekitaran kawasan Kg. Tersusun Jelapang, dan keseluruhan isipadu air dari kawasan ini dibuang terus ke sistem perparitan JKR sediada.

Sistem perparitan JKR sediada (saiz longkang 2.1m x 1.3m) ini dibina sebelum skim pembangunan Kg. Tersusun ini, dan tidak mengambil kira isipadu air buang dari kawasan yang dimaksudkan di mana sistem perparitan JKR yang direkabentuk hanya untuk membuang air larian permukaan jalan dan air buangan sebahagian daripada Pekan Jelapang sahaja.

Perkara ini juga tidak dirujuk kepada pihak JKR untuk memberikan sebarang komen seterusnya kelulusan daripada jabatan ini.

Susulan daripada aduan ini, sebagai langkah jangka masa pendek pihak JKR telah melantik kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja mencuci longkang JKR untuk memastikan tiada sebarang halangan sepanjang sistem ini.

Sebagai langkah jangka masa panjang, pihak JKR telah mengesyorkan kepada MBI agar dapat dipanggil mesyuarat kordinasi.

Ekoran daripada pengesyoran ini, pihak MBI telah memanggil satu mesyuarat kordinasi antara semua agensi kerajaan yang terlibat untuk berbincang bersama untuk mendapatkan keputusan kolektif dan menggariskan peranan setiap agensi bagi menangani masalah ini sepenuhnya.

JKR berharap perkara ini akan dimuktamadkan oleh pihak MBI. Untuk maklumbalas lanjut berhubung perkara ini, pihak tuan boleh menghubungi pihak MBI melalui saluran berikut;

 

Majlis Bandaraya Ipoh

Jalan Sultan Abdul Jalil, 30450 Ipoh, Perak

Tel: 05-2083333 / 3200 / 3344

Fax: 05-2537396 / 05-2083544

Email: mbi@mbi.gov.my

 

Pihak JKR sekali lagi merakamkan ucapan ribuan terima kasih ke atas kerjasama pihak tuan.

Sekian, harap maklum.

Ramli bin Ishak

Pen. Pengarah (Awam)

b.p. Ketua Bhgn. Komunikasi Korporat

 

Bahagian Komunikasi Korporat,

Caw. Pengurusan Korporat,

Jabatan Kerja Raya Malaysia,

Tingkat 1, Blok B (Lama),

Kompleks Kerja Raya,

Jln. Sultan Salahuddin,

50582 Kuala Lumpur.

Tel: 03-2696 7651 / 7647 / 7660 / 7664

 


Masalah banjir yang dihadapi oleh penduduk Jelapang ini disiarkan menerusi Malaysiakini pada 4 Mei lalu.