ESQ: Negeri lain bagaimana?
Saya mengikuti dengan penuh minat satu sesi bual bicara antara Radio Ikim.fm dengan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Wan Mohamad Syeikh Abdul Aziz pada petang 05 Ogos, 2010.
Barulah saya tahu, Jakim sependapat dengan Majlis Fatwa Kebangsaan dan mufti Wilayah Persekutuan bahawa terdapat keraguan yang munasabah dalam kandungan dan pengisian seminar dan kursus anjuran syarikat ESQ Leadership Center Sdn Bhd.
Bagi mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Wan Zahidi Wan Teh, terdapat unsur-unsur dan ciri-ciri yang menyeleweng dalam kandungan dan pengisian seminar dan kursus ESQ itu yang boleh merosakkan aqidah umat Islam Malaysia.
Oleh sebab itu, beliau mengambil keputusan untuk mengharamkan operasi ESQ di Wilayah Persekutuan. Semoga niat suci beliau untuk menyelamatkan Islam mendapat restu daripada Allah SWT.
Bagaimana pula dengan negeri-negeri lain di Malaysia? Saya minta, janganlah negeri mengambil jalan payah dan bahaya. Ambillah jalan mudah dan selamat.Keraguan boleh membinasakan.
Lagipun, saya tidak dapat melihat apalah sangat signifikannya ESQ. Tidak munasabah sekali kita sanggup mengorbankan aqidah kita kerana mempertahankan ESQ demi setotet kepentingan dunia. Apalah ruginya kita kalau ESQ diharamkan?
Saya yakin di seluruh negara Malaysia tercinta kita ini terdapat cukup banyak organisasi Islamiah yang pada sepanjang tahun menjalankan atau menganjurkan wacana, diskusi, seminar, dialog, persidangan dan seumpamanya yang memberikan fokus kepada aspek pembinaan dan pembangunan insan kamil.

