Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Akta Universiti Kolej Universiti (AUKU) pindaan 2009 memperlihatkan ruang lingkup partisipasi mahasiswa dengan politik masih terbatas. Mahasiswa masih lagi dihadkan memberikan idea dan pandangan tentang isu-isu politik negara serta terlibat secara sah dengan parti politik semasa di kampus.

Baru-baru ini, kerajaan telah membenarkan para guru kembali terlibat dalam politik. Selepas itu, timbul pula isu membenarkan mahasiswa menjadi ahli parti politik. Justeru, segelintir pemimpin kerajaan tampil memberikan respon yang positif dan ada juga yang memberikan pandang sisi negatif.

Oleh itu, Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) berpendirian bahawa sudah tiba masanya kerajaan membenarkan mahasiswa berpolitik sebagai proses mematangkan demokrasi di Malaysia dan menjamin hak-hak yang termaktub di dalam perlembagaan persekutuan.

Mahasiswa perlu diberikan ruang memahami, menghayati dan mengimplementasi erti demokrasi ketika di kampus lagi. Hak bersuara yang dijamin di dalam perlembagaan yang telah lama dinafikan kepada mahasiswa harus segera dipulihkan.

Selain itu, kerajaan harus ikhlas dan terbuka memberikan ruang kepada mahasiswa menjana kepimpinan diri di alam kampus sekiranya mahu melihat barisan pelapis kepimpinan negara pada masa akan datang berkualiti dan berktrampilan tinggi.

MPMN juga mendesak kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib  Razak membuat kenyataan terbuka kepada umum sekiranya isu membenarkan mahasiswa berpolitik diterima sebulat suara ahli kabinet kerajaan Malaysia.

MPMN berharap isu ini menjadi perhatian dan perbincangan serius oleh kabinet kerajaan. Sekiranya isu ini menjadi keutamaan, ini akan membuktikan usaha kerajaan membangun modal insan setiap individu di dalam negara Malaysia terutama mahasiswa sudah pasti berjaya kelak.

Sesungguhnya, proses demokrasi di Malaysia harus segera diberikan nafas baru demi melahirkan generasi kepimpinan negara yang berkualiti, berilmu dan berktrampilan untuk menerajui negara pada masa akan datang.


Penulis adalah Timbalan Pengerusi Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN)

ADS