Tulisan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno (ILMU), Fathul Bari Mat Jahaya yang bertajuk 'Nasihat ulama muda Umno' dalam Malaysiakini pada 06 Ogos, 2010 itu tidak sedikit pun memperlihatkan dirinya sebagai ilmuan yang hebat.
Saya tidak berminat langsung untuk menjawabnya, walaupun dengan cara mudah; apalagi membuat analisis setiap fakta janggal yang diutarakannya.
Respons saya ini hanya sekadar peringatan ikhlas kepada Fathul Bari Mat Jahaya agar beliau dan kumpulan ulama muda yang bersama-samanya menyertai Umno pada 25 Jun, 2010 memuhasabah diri sendiri, menghisab diri sendiri dan mengira-ngira diri sendiri.
Tertanya-tanya saya, adakah Umno itu sebuah parti politik suci yang dianggotai pula oleh ahli-ahli yang keramat sehinggakan tarikh seseorang itu menyerahkan borang untuk menyertai Umno pun dianggap keramat? Saya bimbang, tarikh yang dianggap keramat olehnya itu sebenarnya tarikh sesat.
Seorang ulama akhiratkah Fathul Bari Mat Jahaya? Seorang ulama akhirat atau ulama benar sudah pasti berpegang teguh dengan mantapnya kepada kesemua 6,236 Ayat al-Quran. Cukup banyak Ayat Allah SWT yang melarang unsur-unsur persekongkolan dan persahabatan dengan pihak yang fasiq.
Mengapa Fathul Bari tergamak melanggar Ayat 44, 45, 47 dan 49 dalam Surah al-Maidah, dan Aayat 3 dalam Surah Ibrahim?
Al-ulama' warathatul anbia. Seorang ulama itu warith Nabi. Mana mungkin seseorang itu layak dan tergamak menggelarkan dirinya ulama jika taat setianya kepada Rasulullah tidak setepu-tepunya? Warith Nabikah dia? Seorang ulama benar yang imannya kental tidak tergoyah sedikit jua oleh godaan, cubaan dan ujian dunia yang fana ini, tetapi bertentangan sekali dengan ulama dunia yang lebih mementingkan dan mengutamakan dunia daripada akhirat.
Malu dan takut seorang ulama Rabbani hanya kepada Allah SWT, tetapi seorang ulama su' lebih malu dan takut kepada manusia. Demikian juga seorang ulama Malaki tetap senantiasa bersama-sama dengan jemaah yang istiqamah menjunjung tinggi akan setiap Titah Perintah Allah SWT dengan berpandukan al-Quran dan al-Sunnah.
Kesimpulannya, saya bimbang, dengan menyertai Umno, Fathul Bari Mat Jahaya dan kumpulan ulama mudanya hanyalah ulama su' yang kasih dan cinta mereka kepada dunia mengatasi kasih dan cinta mereka kepada Rasulullah SAW.
