Berhubung dengan isu novel Interlok yang diperkenalkan kepada pelajar tingkatan 5, Pertubuhan Kebajikan Astivaaram Selangor (Astivaaram) berpendapat bahawa perenggan yang menjadi kontrovesi sememangnya kurang sesuai.

Istilah dan perumpamaan yang digunakan seolah-olah tidak menghormati perasaan dan sensitiviti kaum India.

Bagaimanapun pada masa yang sama kami juga menghormati nilai karya sasterawan negara dan mesej yang cuba disampaikan oleh beliau untuk perpaduan rakyat Malaysia.

Oleh itu kami amat berharap agar isu ini dapat ditangani secara bijak supaya tidak ada pihak yang tersinggung perasaan dan tidak ada pihak yang kerugian .

Sesi dialog yang diadakan baru-baru ini antara pihak kementerian dan MIC serta NGO India adalah sesuatu yang terpuji dan disanjung.

Tindakan sesetengah pihak yang cuba "menangguk di air keruh" dengan membesarkan isu ini sehingga sanggup membakar buku dan mengganggu perayaan Thaipusam adalah suatu tindakan yang terkutuk dan ekstrim serta suatu cubaan untuk mendapatkan publisiti murahan.

Kami percaya musyawarah, kesederhanaan dan sikap hormat-menghormati adalah penyelesaian segala masalah dan isu yang timbul.

Pihak Astivaaram akan mengadakan satu upacara sembahyang hajat di Kuil Murugan , Batu Caves pada hari Ahad, 23 Januari ini pada jam 9.30 pagi supaya satu penyelesaian yang baik dapat dicari untuk menangani isu ini.

Oleh itu kami ingin menjemput masyarakat India yang inginkan keamanan dan keharmonian kaum yang terpelihara di Malaysia supaya turut serta.


Penulis adalah setiausaha agung Astivaaram dan anggota Pajlis Perundingan Belia Negara 2009/ 2010.