Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami merujuk pada artikel "PPSMI: Kerajaan diminta tidak layan desakan Page" ( Utusan 21/01/2011 ).

Kami musykil kenapa kumpulan "elit" PAGE sering dipersoalkan. Kebanyakan ahli PAGE yang ditafsirkan sebagai "elit" oleh sesetengah pihak adalah berasal daripada keluarga yang buta Bahasa Inggeris dan susah dan tidak berkemampuan dahulu tetapi kesedaran dan pendedahan kepada bahasa ilmu pengetahuan iaitu Bahasa Inggeris menjana dan menjadi pemangkin utama kejayaan mereka sekarang.

Faktor yang sama mereka mahukan bukan sahaja untuk anak-anak mereka tetapi rakyat Malaysia secara keseluruhannya.

Bukankah elit itu satu pengiktirafan kejayaan hidup di dunia ini?

Bukankah elit-elit negara (menteri-menteri) di Parlimen yang menggubal polisi dan dasar negara untuk rakyat di kampong dan desa? Bukankah para profesional yang elit di luar negara yang dirayu kerajaan untuk kembali ke tanah air melalui Talent Corp?

Kami di PAGE hanya mahukan apa yang kami fikir terbaik untuk anak-anak Malaysia. Kami tidak menentang keputusan kerajaan untuk mengajar sains dan matematik dalam Bahasa Melayu di sekolah-sekolah yang mahukannya.

Kami cuma mahukan sekolah-sekolah diberi opsyen untuk memilih PPSMI atau sebaliknya.

Adakah pihak penentang PPSMI takut untuk opsyen ini diberi sebab mereka tahu kebanyakan ibu bapa di bandar dan juga luar bandar akan memilih PPSMI?

PAGE mengesyorkan agar opsyen ini diberi dan kita tunggu dan lihat sambutannya, selaras dengan slogan YAB Perdana Menteri ‘Rakyat didahulukan. Pencapaian diutamakan.’

Polisi baru MBMMBI telah menurunkan pendedahan kepada Bahasa Inggeris dari 40 peratus (jumlah waktu pembelajaran) ke 20 perayus sahaja. Ini sudah pasti akan melemahkan penguasaan Bahasa Inggeris. Dengan itu generasi anak-anak kita akan tersekat dalam penguasaan ilmu.

Sebagai orang Islam, kita dituntut melalui wahyu pertama, "Iqra'", untuk menimba ilmu. Dengan menjauhi ilmu, jatuhlah bangsa dan hinalah agama. Bukankah menimba ilmu itu ibadah yang lebih afdal dan utama daripada memartabatkan bahasa?

Di bawah PPSMI, martabat Bahasa Melayu tidak tergugat kerana pendedahan kepadanya masih lagi 60 peratus. 

PPSMI adalah MBMMBI yang terbaik dan penentang PPSMI hanya akan menghancurkan masa depan bangsa dan negara kita.

Seperti kata Tun Dr Mahathir, "Orang Melayu akan jadi bodoh".

Oleh itu kami, demi agama, negara dan bangsa, tetap akan memperjuangkan PPSMI sebab ianya menjaga martabat Bahasa Melayu (60 peratus) seperti yang dituntut oleh Perlembagaan Persekutuan dan memberi peluang untuk anak-anak kita berjaya menimba ilmu dalam Bahasa Inggeris (40 peratus), yang tersebar luas dalam dunia era informasi dan ilmu

zaman ini.


Penulis adalah Timbalan Pengerusi PAGE Malaysia

ADS