Assalamualaikum w.t.h

Saya merupakan abang kepada salah seorang pelajar perempuan dibawah tajaan Yayasan Pahang yang menuntut di Kaherah.

Saya berasa sangat kesal dan kecewa dengan kerajaan Pahang khususnya, kerana tidak mengambil apa - apa tindakan. Saya telah terputus hubungan dengan adik saya selama dua hari lalu.

NONE Maka, kami cuba menghubungi pihak Yayasan Pahang...kami menarik nafas lega apabila pegawai yang bertugas menyatakan telah memindahkan pelajar pada waktu malam dan dia memaklumkan bahawa talian bilik gerakan Yayasan Pahang dibuka 24 jam bagi penjaga pelajar di Mesir yang ingin mengetahui status terkini.

Kami cuba menghubungi talian Yayasan Pahang pada waktu malam namun yang hanya pengawal keselamatan yang menjawab panggilan dan menyatakan tidak ada bilik gerakan 24 jam seperti yang dimaklum.

Kemudian pada hari ini, kami menghubungi pihak Yayasan Pahang sekali lagi untuk mengetahui perkembangan terkini dan telah bercakap dengan pegawai lain, namun apa yang kami dapat adalah maklumat yang bercanggah dengan pegawai yang pertama. Menurutnya, pelajar masih lagi dikediaman dan belum dipindahkan.

Kami agak terkilan dengan pegawai pertama yang dasarnya hanya mahu menyedapkan hati. Malah, tiada apa - apa maklumat yang dapat diberikan mengenai perpindahan pelajar keluar dari Mesir. Kami rasa tertipu dan dipermain sedangkan ini isu serius.

Sejurus selepas itu, kami cuba menghubungi adik saya berkali - kali sehingga dapat. Alhamdulillah kami berjaya menghubungi beliau namun hati kami sebak dan risau.

Adik saya memaklumkan tiada sebarang berita atau maklumat diterima mereka untuk berpindah. Malah mereka dalam kelaparan dan mengadu sakit perut kerana terpaksa mencatu - catu makanan.

Sedia maklum, mereka juga terpaksa menutup tingkap sepanjang masa dan berduduk dalam gelap apabila malam. Lebih merisaukan, hostel mereka juga pernah diceroboh masuk namun mujur ada pengawal yang berjaga.

Tetapi, jikalau penyerang / penyamun lebih ramai yang merusuh dari pengawal bagaimana pula? Tak kan nak tunggu sesuatu yang buruk berlaku baru nak bertindak. Kita sedia maklum bahawa, banduan - banduan bebas berkeliaran.

Hal ini, amat merunsingkan kami sekeluarga. Saya yakin, keluarga pelajar yang lain turut merasai perasaan yang sama. Sepatutnya, pihak berwajib perlu mengambil tindakan untuk memindahkan pelajar secepat yang mungkin.

Bantuan awal perlu diberi seperti bantuan makanan dan juga bantuan keselamatan. Sekurang - kurangnya mereka berasa selamat dan tidak ketakutan. Janganlah ditinggalnya mereka terkontang - kanting. Dari maklumat yang saya terima, tiada pegawai yang ditugaskan untuk menjaga mereka. Saya sekeluarga sangat - sangat kecewa.

Hanya Allah sahaja yang tahu berkecamuknya hati saya memikirkan nasib adik perempuan saya dan rakan - rakannya. Tambah lagi, kini Mesir berada di tahap kritikal! Apa lagi yang ditunggu?

Saya bukan berniat untuk meyalahkan pihak tertentu, tapi tujuan saya disini adalah untuk membuka mata pihak berwajib agar memberi perhatian kepada nasib pelajar yang masih belum dipindahkan sedangkan kita sedia maklum tahap keselamatan di Mesir sangat kritikal.

Kami berharap Pihak Yayasan Pahang & Kedutaan Malaysia dapat mengambil tindakan yang pantas dan proaktif bagi membantu mengeluarkan pelajar di sana. Sekian. Terima Kasih.

Wassalam.