Kami sebagai rakyat yang menyahut seruan Polis Diraja Malaysia dan Perdana Menteri, khususnya, agar bekerjasama dan menyalur maklumat tentang aktiviti haram di kawasan masing-masing, kini rasa ditipu bila aduan kami di IPD Kluang, IPK Johor dan Bukit Aman seperti dipandang sepi.

Pengadu yang pernah mengikut operasi polis Bukit Aman dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Putrajaya pada bulan Disember 2010 kini dalam ketakutan bila diugut oleh kumpulan samseng yang diupah oleh sindiket haram itu.

Walaupun operasi itu berjaya menangkap beberapa anggota sindiket dan bukti dikumpul tetapi tiada tindakan diambil ke atas mereka.

Sindiket itu menjalankan penjualan nombor ekor 4D haram, mesin kuda dan juga menawarkan perkhidmatan pelacuran.

Kes ini masih dalam siasatan dan tiada kemajuan walaupun diketahui oleh pegawai atasan. Paling menghairankan bila polis menyatakan tidak mempunyai bukti yang mencukupi sedangkan  SPRM berjaya mengumpul puluhan bukti bergambar hasil intipan yang dibuat pada bulan Februari 2011.

Kebanyakan maklumat premis haram yang dibekalkan kepada polis adalah yang terletak berdekatan dengan surau, masjid dan dikunjungi oleh kebanyakan orang Melayu termasuk budak-budak sekolah.