Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Surat
Produk perbankan Islam dikhuatiri ada unsur judi

Sebuah bank Islam melancarkan produk terkininya baru-baru ini.

Produk ini adalah produk akaun simpanan/pelaburan. Apa yang memeranjatkan adalah ganjaran yang ditawarkan oleh produk ini dan syarat-syaratnya.

Syarat produk ini adalah apabila pelanggan mendepositkan minimum RM100 ke dalam akaun simpanan/pelaburan, mereka akan berpeluang memperoleh hadiah dalam bentuk wang tunai.

Hadiah ini akan diperoleh melalui sistem undian. Sebenarnya, walaupun istilah yang digunakan adalah undian, hakikatnya ia adalah cabutan bertuah.

Dengan demikian, adalah dikhuatiri bahawa produk ini mengandungi unsur perjudian.

Persoalannya adalah dari manakah hadiah wang tunai itu akan diperoleh? Jika ia diperoleh dari dana pendeposit akaun simpanan/pelaburan itu, maka secara kasarnya, produk ini mengandungi unsur perjudian.

Elemen perjudian ini hanya dapat dihapuskan jika bank Islam berkenaan memberi jaminan  kepada semua pelanggannya bahawa hadiah tersebut adalah bersumberkan dana pemegang saham atau sumber dari luar bank, dan bukannya dana pendeposit, terutamanya dana pendeposit akaun simpanan/pelaburan itu.

Saya berharap agar pihak bank Islam berkenaan dan Bank Negara mengambil serius perkara ini kerana semua pelanggan perbankan Islam sudah tentu mahukan produk yang halal sepenuhnya.

Jika produk ini tidak mengandungi sebarang unsur perjudian dan juga tidak mengandungi sebarang elemen ketidakadilan, maka penjelasan perlu diberikan kepada para pengguna.

Jika ia memang mengandungi unsur perjudian dan elemen ketidakadilan, maka penjualan produk ini perlu dihentikan dengan serta-merta dan tindakan susulan seperti pampasan kepada para pendeposit perlu dilakukan.

ADS