Kementerian Belia dan Sukan menyasarkan untuk merekrut seramai 10,000 belia sebagai anggota Ikatan Relawan Rakyat (RELA) dalam tempoh tiga tahun. Menurut menterinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek pendekatan itu bagi membantu kerajaan menangani jenayah jalanan.

Namun apa yang amat membimbangkan adalah Ahmad Shabery mengakui bahawa pihaknya telah mengambil mat rempit bagi menganggotai RELA.

Ini adalah perkara yang tidak seharusnya berlaku. Mat rempit adalah golongan penjenayah yang mengganas di negara kita. Malah mereka sanggup melanggar anggota penguatkuasa bagi mengelakkan diri mereka dari ditangkap.

Adakah penjenayah seperti ini yang diharapkan dapat membantu kerajaan menangani jenayah jalanan? Tindakan ini adalah seperti memberikan senjata kepada penjenayah.

Dengan menjadi anggota RELA, lebih mudahlah bagi mereka melakukan jenayah. Mereka akan menggunakan keanggotaan RELA sebagai lesen bagi melakukan lebih banyak onar di negara tercinta ini.

Ini bukan sahaja tidak akan membantu mengurangkan jenayah, bahkan akan menyebabkan kadar jenayah di negara kita terus meningkat dan rakyat akan terus berasa tidak selamat di negara sendiri.

Kerajaan digesa supaya menghentikan amalan mengambil mat rempit atau mana-mana penjenayah sekalipun bagi menganggotai RELA dan lain-lain badan penguatkuasa. Orang seperti ini sepatutnya dihukum dan bukannya disuruh menjaga keselamatan negara.

Bagi mat rempit yang sudah pun diambil bagi menganggotai RELA, keanggotaan mereka perlu ditarik balik dengan serta-merta.

Di samping itu, kerajaan juga digesa supaya melakukan penilaian menyeluruh ke atas semua badan penguatkuasa (Polis, RELA, Imigresen, JPJ, kastam dan sebagainya) bagi memastikan tiada penjenayah yang menjadi anggota penguatkuasa. Jika tidak, rakyat akan terus berasa takut di negara sendiri.