Saya merujuk kepada laporan bertajuk Pakatan tak akan 'tumbang' kerana isu hudud .

Suka saya menarik perhatian pemimpin Pakatan Rakyat bahawa kecelaruan yang berlaku sekarang akibat daripada perbuatan mereka sendiri, khususnya Tok Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.

Tidak lama dulu PAS beriya-iya menegakkan negara berkebajikan dan menangguhkan agenda negara Islam, maka ramai yang merasa lega. Kini PAS kembali menegakkan agenda hudud.

Orang bukan Islam merasa bimbang bukan kerana mereka tidak faham implikasinya.

Nik Aziz menuduh orang bukan Islam tidak faham dan takut hudud macam budak-budak takutkan hantu. Ini selaran yang tidak adil kepada pengundi bukan Islam.  

Orang bukan Islam mungkin tidak faham semua perkara mengenai hudud tetapi sekurang-kurang mereka bukan budak-budak kecil yang takutkan hantu.

Kalaulah mereka mempunyai mentaliti begini, maka sudah tentu mereka tak akan berikan undi kepada PAS seperti yang berlaku dalam pilihan raya umum ke-12 dulu.

Jangan PAS menjadi hipokrit bila orang bukan Islam berikan undi, mereka muji orang bukan Islam. Sebaliknya bila bukan Islam membuat sikit bantahan, dilemparkan perlbagai tuduhan untuk memperkecilkan mentaliti orang bukan Islam.

 

Hudud yang dicadangkan di Kelantan walaupun dihadkan kepada orang Islam, bagaimana kalau jenayah melibatkan pihak-pihak atau watak-watak yang terdiri daripada orang Islam dan bukan Islam?

Dalam kes sebegini, Mahkamah Syariah atau mahkamah jenayah biasa yang akan digunapakai? Kalau diadakan prosiding di mahkamah Syariah, apakah kedudukan saksi dan mangsa bukan Islam dilindungi sepenuhnya?

 

Dalam negara majmuk, PAS kerana bertindak lebih bijak dan mantap. PAS tak boleh persalahkan orang lain kerana PAS sendiri yang suka mempermainkan isu hudud untuk meraih sokongan.