Pada 31 Januari 2012 saya telah pergi ke Klinik Pergigian Awam di negeri Johor untuk mendapatkan rawatan tampalan dan pembersihan gigi.
Dengan pengunjung yang ramai saya bersyukur masih mendapat angka giliran yang tidak terlalu jauh kerana sejak awal pagi sudah bersiap ke sini.
Namun apa yang menyedihkan pegawai perubatan klinik mengambil masa kira-kira 30 hingga 35 minit selepas waktu bekerja sebenar iaitu jam 8.00 pagi untuk memulakan sesi rawatan.
Tambah mendukacitakan, hanya satu bilik konsultasi (bilik rawatan) dibuka dan digunakan sedangkan terdapat 3 bilik rawatan yang sepatutnyan digunakan di klinik pergigian tersebut. Dengan jumlah pengunjung yang ramai sudah tentu tidak efisyen jika hanya membuka satu bilik rawatan bagi merawat pesakit.
Ketika menjalankan pemeriksaan ke atas saya, pegawai perubatan menyatakan saya memerlukan sesi rawatan khas yang ditentukan pada hari lain bagi menerima rawatan secara lengkap dan menyeluruh dan saya bersetuju dengan rekomentasi pegawai perubatan tersebut lalu menunggu untuk penetapan tarikh rawatan susalan.
Setalah menetapkan tarikh rawatan, pembantu perubatan menyatakan saya perlu membayar sejumlah RM 1. Saya merasakan pembayaran RM 1 ini tidak relevan kerana saya tidak mendapat sebarang rawatan pada hari berkenaan. Namun saya tetap disuruh membayar.
Keadaan kedua di klinik Pergigian Awam di negeri Johor ialah apabila rawatan cabutan gigi dilakukan, pesakit perlu mengambil ubat di klinik Kesihatan Awam yang terletak kira-kira 7 kilometer dari klinik pergigian tersebut.
Keadaan ini amat menyulitkan pessakit yang perlu menaiki pengangkutan awam yang keadaannya memang tidak boleh dibanggakan untuk ke klinik Kesihatan Awam tersebut.
Apabila tiba di situ, pesakit perlu menunggu bersama-sama dengan pesakit selain pesakit gigi bagi mendapatkan ubat yang disyorkan oleh pegawai kesihatan pergigian tadi.
Natijahnya, ada di antara pesakit yang berang dan dukacita dengan keadaan ini yang seharusnya tidak berlaku di negara yang dikatakan membangun dengan pesat seperti Malaysia. Kesihatan rakyat seharusnya dipermudahkan dan diberi perhatian oleh kerajaan terutamanya dalam hal-hal birokrasi sebegini.
Mungkin perihal bayaran RM 1 tidak menjadi masalah besar kepada rata-rata masyarakat, namun perkhidmatan yang baik perlu disertakan dengan berkesan dan sungguh-sungguh.
Oleh hal yang demikian, kerajaan melalui Kementerian Kesihatan, Kerajaan Negeri dan Tempatan perlulah melihat keadaan ini agar mutu kesihatan awam negara dapat ditingkatkan. Keadaan ini belum menyentuh perihal di hospital awam yang semua sedia maklum amat mendukacitakan.
