Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

dikemaskini Lawyers for Liberty memandang serius kontroversi yang melanda baru-baru ini berkenaan kes rogol statutori yang melibatkan dua kanak-kanak perempuan berumur 13 dan 12 tahun yang mana pelakunya yang masing-masing berumur 19 dan 21 tahun tidak dipenjarakan.

Mereka sebaliknya hanya dijatuhkan hukuman bon berkelakuan baik oleh mahkamah dan pembebasan selepas didapati tidak bersalah oleh Mahkamah Tinggi terhadap seorang pemilik pusat asuhan kanak-kanak yang sebelum ini telah didapati bersalah merogol seorang kanak-kanak berumur 4 tahun di Mahkamah Seksyen.

Kanak-kanak dan orang muda dikategorikan sebagai golongan yang paling terdedah kepada bahaya dan sistem perundangan jenayah seharusnya berusaha untuk melindungi dan menyokong mereka, antaranya ialah dengan memastikan pesalah laku seks dibawa ke muka pengadilan mengikut norma-norma dan pembuktian undang-undang jenayah.

Golongan ini sewajarnya diberikan perlindungan khas dan polisi-polisi yang dibuat dan perundangan haruslah mengambil kira kepentingan mereka.

Kami sedia maklum bahawa kanak-kanak bawah umur tidak berada dalam posisi untuk memberi persetujuan (dalam undang-undang Malaysia bawah 16 tahun) dan oleh yang demikian hubungan seksual dengan kanak-kanak di bawah umur dikategorikan sebagai rogol tanpa mengambil kira isu persetujuan.

Namun, kami berpendapat bahawa mahkamah mempunyai kuasa budi bicara untuk menjatuhkan hukuman untuk kes-kes sebegini termasuk hukuman penjara dan dalam keadaan-keadaan terkecuali, bon berkelakuan baik dengan syarat-syarat yang ditentukan.

Kami bukanlah privy kepada fakta dalam kes ini, bagaimanapun hukuman yang dijatuhkan dalam kedua-dua kes berkenaan, mungkin dilaksanakan dengan tidak wajar kerana jarak usia antara pelaku dengan mangsa agak jauh dan bukanlah keadaan yang mana kedua-dua mereka berada dalam lingkungan umur yang sama.

Namun persepsi bahawa dalam setiap kes rogol statutori pelaku (selepas didapati bersalah) sepatutnya dikenakan hukuman penjara sekurang-kurangnya 5 tahun penjara tanpa mengambil kira faktor-faktor mitigasi adalah tidak wajar.

Faktor-faktor yang harus diambil kira oleh mahkamah di dalam menjatuhkan hukuman antaranya adalah, umur pelaku, laporan pakar atau perubatan, latar belakang dan fakta mengenai hubungan mereka, samada terdapatnya elemen kekerasan atau paksaan, sam aada pelaku seorang pemangsa seks, berperwatakan yang baik, mempunyai masa depan yang cerah, percaya secara munasabah bahawa mangsa bukan bawah umur dan lain-lain faktor yang relevan.

Walaupun mahkamah tidak selalunya tepat di dalam menjatuhkan hukuman, namun kuasa budi bicara harus dikekalkan dengan mengambil kira faktor-faktor yang penting semasa proses menjatuhkan hukuman.

Ini adalah lebih baik daripada menyekat budi bicara hakim dengan undang-undang terperinci dan spesifik yang mempunyai kecenderungan untuk membawa kepada ketidakadilan.

ADS