Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS) merasa terpanggil melahirkan rasa kecewa apabila permohonan pihak penganjur Himpunan Kebangkitan Rakyat (HKR) masih tidak mendapat sebarang maklum balas.

Dan kami masih menunggu respons daripada Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyatakan pendiriannya serta meluluskan permohonan kami untuk menggunakan Stadium Merdeka pada 12 Januari ini.

Himpunan ini mensasarkan satu juta orang untuk hadir dengan memakai baju daripada empat warna iaitu kuning untuk BERSIH 2.0, merah untuk kumpulan yang menuntut royalti petroleum Kelantan, hijau untuk anti-Lynas dan oren untuk pergerakan anti-FGVH, yang akan bersama-sama pada himpunan yang bakal mencatat sejarah.

MIPAS berpendapat bahawa pihak DBKL dan polis sepatutnya tidak mempunyai masalah untuk memberi kelulusan dan tidak perlu mengambil masa yang agak lama untuk meluluskan permohonan permit.

Bahkan pihak penganjur hanya menyahut saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mahu rakyat berhimpun di stadium jika ingin menyatakan sebarang tuntutan terhadap kerajaan.

Ini membuktikan keikhlasan serta sikap murni pihak penganjur yang sedia bekerjasama dan menghormati saranan perdana menteri untuk berkumpul di Stadium Merdeka.

MIPAS menyeru agar perdana menteri perlu tuntas dengan janji transformasi, mengotakan apa yang telah dikata dan membuktikan slogan beliau "Janji ditepati".

MIPAS meminta agar pihak kerajaan, pihak DBKL dan pihak Polis jangan berdolak dalik dan berselindung di sebalik pelbagai alasan seperti akan berlaku huru-hara kononnya, mencetuskan pergaduhan, kemusnahan harta benda, kesesakan lalu-lintas serta bermacam-macam alasan.

Padahal Himpunan Sejuta Belia di Putrajaya anjuran BN tidak ada sebarang masalah melibatkan permit dan alasan lain.

Jadi kenapa pihak kerajaan BN, pihak DBKL dan pihak polis mengamalkan pilih kasih?

Apa yang penting ialah kerjasama yang baik daripada pihak berkuasa yang membantu menjaga lalu-lintas, menjaga keselamatan dan menjamin keamanan pada perhimpunan itu nanti.


NONE S BARATHIDASAN setiausaha agung Persatuan Progresif India Malaysia (MIPAS). Artikel ini pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian rasmi Malaysiakini .

ADS