Mogok lapar haram, ISA dibenarkan
Memang benar mogok lapar adalah haram disisi agama dan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) juga dibenarkan oleh Islam sebagai langkah pencegahan. Kata orang putih ' quarantine '.
Harus diingat bukan semua perkara yang dilarang oleh undang-undang perlu dibawa ke mahkamah. Kalaupun dibawa ke mahkamah dan keputusan mahkamah tidak menyebelahi I Mek dan parti pembangkang, adakah anda akan menerima atau membantahnya?
Bagaimana dengan kes Datuk Seri Anwar Ibrahim (DSAI)? Sudah tentu anda membantahnya dan hukuman tersebut dianggap zalim. Kenapa hukuman ke atas DSAI sahaja yang zalim? Bagaimana pula dengan banduan lain di penjara yang telah dibuktikan bersalah? Adakah bukti itu sengaja diada-adakan?
Tidak perlu Ustaz Shamsul Najmi Shamsudin, berada di tempat enam tahanan ISA itu selagi beliau tidak melakukan perkara yang dilarang undang-undang. Apa yang berlaku kepada enam tahanan itu adalah daripada perlakuan mereka sendiri, termasuk menentang kerajaan.
Ustaz Shamsul Najmi memahami dirinya sebagai seorang berpengetahuan agama, maka sudah tentu beliau menyampaikan sesuatu yang benar dengan sopan, tidak seperti tok guru dan mereka yang kononnya bergelar ulama di dalam PAS yang menyampaikan dakwah secara tidak sopan, seperti panggilan barua, tuduhan ulama terompah kayu dan syaitan bisu kepada bukan pengikut mereka. Itukah cara berdakwa?
Janganlah melihatkan sesuatu isu itu dari segi pandangan pembangkang, demi kepentingan politik semata-mata. Sebaliknya isu-isu tersebut perlu dilihat dan dikaji secara objektif dan benar kerana ia melibatkan kepentingan rakyat dan negara.
Jangan fikirkan perkara remeh-temeh yang membantutkan usaha membangunkan umat Melayu Islam di negara ini. Kalau ingin berpolitik biarlah bersopan. Jangan jadikan negara ini negara Palestin yang kedua.


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.