Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Kami di AsSajjad Movement, pertamanya ingin merujuk kepada Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-wilayah Persekutuan) 2013 terutama sekali berkaitan Seksyen 43 (3) yang menyatakan:

"Jika Jawatankuasa Fatwa berpendapat bahawa tiada satu pun qaul muktamad daripada empat mazhab itu (Maliki,Hanafi,Shafie dan Hanbali) boleh diikuti tanpa membawa kepada keadaan yang berlawan dengan kepentingan awam, Jawatankuasa Fatwa bolehlah membuat fatwa itu mengikut ijtihad tanpa terikat dengan qaul muktamad daripada mana-mana Mazhab yang empat itu".

Apa yang menjadi tanda tanya pada kami ialah sekiranya terdapat pendapat yang lebih kuat dan bersesuaian dengan kepentingan awam datang daripada mazhab Ja'fari (mazhab fikah Syiah 12 atau Twelver Shia ) adakah Jawatankuasa Fatwa akan mempertimbangkan pendapat berkenaan tanpa hanya terikat dengan empat mazhab yang disebutkan tadi?

Suka diingatkan kitab-kitab fikah moden seperti Fiqul Islami wa Adillatuhu (Fikah dan Perundangan Islam) karangan Dr Wahbah Zuhaili yang kerap menjadi rujukan di mahkamah syariah turut mengemukakan pendapat daripada Fikah Jafari dalam isu-isu fikah seperti isu talak 3 dengan sekali lafaz.

Kami memandang serius hal ini kerana akan datang kerugian kepada umat Islam di Malaysia sendiri khususnya dalam berhadapan dengan pelbagai isu-isu baharu yang memerlukan pandangan-pandangan Fikah yang lebih menyeluruh dan bersepadu, sekiranya jawatankuasa fatwa mengabaikan hal ini.

Sering kami peringatkan bahawa Malaysia telah menandatangani Deklarasi Islamabad yang diwakili oleh Menteri Luar ketika itu, Tan Sri Syed Hamid Albar pada tahun 2007.

Deklarasi tersebut dengan jelas menekan isu perpaduan Sunni-Syiah dan juga koloborasi dalam isu-isu Fikah kontemporari demi menjaga kemaslahatan umat Islam dan mengelak mudarat yang lebih besar.

Keduanya, AsSajjad Movement juga ingin menyinggung Seksyen 107 (b) Rang Undang-undang yang sama, yang mana menyatakan:

"Bagi maksud Bahagian ini, seseorang yang tidak beragama Islam boleh memeluk Islam dan-jika dia belum mencapai umur lapan belas tahun, ibu atau bapa atau penjaganya mengizinkan pemelukan agama Islam olehnya."

Bagaimana pula jika salah seorang pasangan ibu bapa telah memeluk Islam dan membawa sama anaknya yang belum mencapai umur lapan belas tahun untuk memeluk Islam bersamanya?

Isu ini akan menjadi rumit sekiranya salah seorang, sama ada pihak suami ataupun isteri "dengan sengaja" memeluk Islam untuk membolehkan secara taktikal hak penjagaan anak berpihak kepadanya.

Hal ini sering menjadi masalah sekiranya yang menganut agama Islam itu ialah suami sementara isteri pula ingin kekal dengan agama bukan Islam.

Secara fitrahnya seorang anak akan lebih dekat dengan ibu kerana ibu yang melahir dan menyusukan anak tersebut. Pelbagai persepsi buruk terhadap Mahkamah Syariah harus diminimumkan demi menjaga nama baik institusi perundangan syariah di negara ini.

Kes seperti S Deepa yang mana bekas suami beliau telah meninggalkan keluarga lebih daripada setahun, kemudian ‘mengambil' anak-anak beliau dari tadika lantas mengislamkan anak-anak tersebut tanpa pengetahuan ibu mereka cukup memadai dijadikan perhatian.

Isu seperti ini tidak akan menampakkan keadilan Islam bahkan, lebih teruk adalah persepsi terhadap agama Islam akan terus dipandang negatif.

Jelaslah terdapat dua kelompongan serius dalam Rang Undang Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2013 ini.

Justeru, kami di AsSajjad Movement sekali lagi menegaskan supaya penggubal undang-undang tidak mengabaikan dua isu tersebut.

Selain itu, penggubal undang-undang digesa lebih peka, prihatin dan jelas dalam hal kewujudan minoriti agama di dalam negara.

Keutamaan harus diberikan kepada falsafah agama yang menggalakkan setiap lapisan masyarakat menghormati antara satu sama lain.

ADS