Saya menyokong penuh cadangan Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) untuk mengkaji peranan dan kelemahan penguatkuasaan kempen semasa pilihanraya diadakan. Tetapi saya berharap SPR juga mengambil kira maklum balas dari semua parti, bukan sahaja parti memerintah.

Ini kerana apa yang dikatakan "keganasan berkempen yang keterlaluan dan melampau" di Pendang dan Anak Bukit adalah hanya 20 peratus dari apa yang berlaku semasa pilihanraya kecil Indera Kayangan di Perlis, di mana terdapat penyokong parti lawan dipukul.

Dalam kejadian di Indera Kayangan itu, seorang daripada penyokong pembangkang terpaksa menerima sembilan jahitan di kepala, tetapi kejadian seumpama itu tidak berlaku di Pendang dan Anak Bukit.

Oleh itu, undang-undang untuk mengawal keganasan pilihanraya perlulah disokong oleh parti-parti Barisan Alternatif (BA) kerana ianya boleh melindungi petugas BA semasa pilihanraya diadakan.

SPR harus juga mengambil kira kempen di media massa, terutamanya media masa elektronik yang terang-terang menyokong BN semasa pilihanraya.

Saya menyokong cadangan Awang Sulung dalam ruangan 'bisik-bisik' dalam akhbar Mingguan Malaysia (21 Julai 2002) agar stesen TV dan radio, terutama RTM1 dan TV3 agar tidak menjadi alat kempen BN.

Ini akan menjadikan pilihanraya di Malaysia lebih demokratik, bukan bersifat berat sebelah atau menjadi alat pemerintah menyamar mengamalkan demokrasi tetapi hakikatnya adalah sebaliknya.

Apa yang kita harap ialah SPR tidak mengamalkan penguatkuasaan berat sebelah seperti undang-undang pilihanraya mengenai jumlah wang yang dibenar dibelanjakan oleh parti terbabit untuk berkempen

. Selain itu, SPR juga haruslah menyiasat kesalahan-kesalahan yang didakwa dilakukan oleh parti-parti yang bertanding kerana semasa pilihanraya, pelbagai taktik digunakan untuk mempengaruhi minda pengundi termasuklah membuat poster mengutuk parti/pemimpin sendiri dan kemudiannya menuduh poster tersebut di buat dan disebarkan oleh pihak lawan.

Contohnya, BN menuduh poster Dr Mahathir Mohamad sebagai paderi kristian dilakukan oleh PAS. Tetapi apabila terdapat risalah yang mengutuk Datuk Fadzil Noor, BN menuduh ianya dibuat sendiri oleh PAS untuk mengaburi mata rakyat.

Di sini, tidak mustahil kedua-duanya dibuat oleh BN sebagai perang psikologi terhadap pengundi untuk memperolehi undi. Selain itu, kejadian menuang asid dan memecah cermin kenderaan mungkin dilakukan oleh parti itu sendiri sebagai helah untuk memburukkan parti lawan.

SPR haruslah mengambil kira segala hal ini dalam menguatkuasakan segala peraturan pilihanraya yang dirancang.