Saya ingin menarik perhatian pihak tuan mengenai komen yang diberikan oleh pembaca portal Malaysiakini bertarikh 12 Ogos 2013 (Isnin) mengenai kenyataan YB Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup, Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang merujuk kepada kerajaan telah mengambil pendirian toleransi sifar terhadap ketaksuban agama.

Saya ingin memberi penjelasan kepada beberapa pandangan dan komen berhubung dengan isu penggunaan perkataan "Allah" dan di sini ingin saya tegaskan bahawa ia tidak perlu dipersoalkan lagi memandangkan perkara ini dalam tindakan mahkamah dan saya menyeru kepada orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi mengenai perkara tersebut sehingga keputusan mahkamah dibuat.

Saya melihat usaha kerajaan mengadakan dialog antara pelbagai pertubuhan agama merupakan suatu langkah praktikal yang telah dilaksanakan bagi mencari jalan penyelesaian antara mereka. Melalui Majlis Perundingan Malaysia antara agama Buddhist, Hindu, Kristian, Hindu dan Toa (MCCBCHST) perkara ini dapat dilakukan dengan baik menerusi lima badan agama utama di negara ini.

Berkaitan dengan tindakan terhadap nama-nama yang dinyatakan termasuk pemimpin PERKASA, Zulkifli Noordin, Ibrahin Ali, Reduan Tee (ahli akademik), Hassan Ali (bekas exco Selangor), mufti Perak yang didakwa menghina agama bukan Islam, saya ingin tegaskan bahawa perkara ini adalah di bawah bidang kuasa Kementerian Dalam Negeri dan hal-hal yang berkaitan dengan agama agama Islam ia adalah di bawah bidang kuasa YB Mejar Jeneral (B) Datuk Seri Jamil Khir bin Baharom, menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Pada hemat saya ingatan dan saranan yang sering disampaikan kepada seluruh rakyat yang cintakan keharmonian dan kedamaian perlu dilihat secara positif dan bagi memastikan penyatuan nasional dapat diperkukuhkan lagi maka kerajaan akan menubuhkan Majlis Konsultasi Perpaduan Nasional yang bertujuan untuk memberi nasihat kepada kerajaan berhubung penyatuan nasional rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Sehubungan itu kita perlu mengamalkan budaya perpaduan dan berpegang kepada perlembagaan serta prinsip-prinsip Rukun Negara kerana jika kita sentiasa berpegang kepada nilai-nilai dan teras tersebut serta saling menghormati antara satu sama lain, saya yakin dan percaya bahawa perhubungan antara kaum akan sentiasa wujud dalam keadaan dan suasana yang cukup harmoni.

Ini menunjukkan bahawa kerajaan sememangnya prihatin dan mendengar keluhan serta pandangan rakyat terutama orang-orang bukan Islam. Isu mengenai Rang Undang-Undang Pentadbiran Agama Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) yang telah ditarik balik menunjukkan bahawa kerajaan sentiasa telus dalam menangani pelbagai isu terutama yang berkaitan dengan agama.


SALEKI AMAT JANURI setiausaha akhbar kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Datuk Seri Panglima Joseph Kurup.