Rancangan Barisan Nasional (BN) untuk memperkenalkan kerahan tenaga ( national service ) nampaknya lebih merupakan muslihat politik untuk meraih sokongan dari kalangan muda-mudi untuk memperkukuh kedudukannya.

Setakat ini, BN belum lagi memutuskan sama ada kerahan tenaga yang dikatakan "cara Malaysia" itu akan diwajibkan atau tidak, atau akan melibatkan latihan ketenteraan. Di kebanyakan negara, kerahan tenaga bererti mengerah semua yang termasuk dalam had umur tertentu untuk menjalani latihan ketenteraan secara wajib.

Setelah terlatih, mereka dianggap sebagai pasukan tentera simpanan yang boleh dipanggil atau digerak untuk mempertahankan negara.

Lebih 20 tahun dahulu, bukan Melayu pernah menyeru pemerintah supaya memperkenalkan kerahan tenaga seumpama ini tetapi ditolak BN. Mereka bimbang jika ramai rakyat yang pandai memegang senjata, ada kemungkinan berlaku akibat-akibat lain yang tidak diingini

Kini pucuk pimpinan BN menerangkan bahawa tujuan utama kerahan tenaga ini adalah untuk menanam semangat patriotisme, perpaduan dan disiplin. Sebenarnya, para pemimpin BN yang ada sekarang memang sudah lama berpendapat bahawa muda-mudi perlu dikawal dan ditingkatkan semangat cinta tanahair dengan menggunakan disiplin ketenteraan.

Di semua universiti awam tempatan dan di sesetengah sekolah menegah, telah diadakan pasukan-pasukan yang diketuai oleh Naib Canselor atau guru besar masing-masing. Tetapi tiada kesan positif kelihatan. Tidak hairanlah jika pada masa ini pimpinan BN masih mengeluh tentang disiplin, perpaduan dan patriotisme.

Semangat patriotisme dan perpaduan tidak boleh ditanam, apatah lagi secara paksaan. Selagi ada perasaan di setengah kalangan warganegara bahawa pemerintah menganaktirikan mereka dari segi perbezaan kaum atau martabat, maka selagi itu patriotisme tidak akan berkembang.

Ianya juga tidak akan wujud selagi pemerintah menjalankan dasar-dasar perkauman dan selagi kebebasan rakyat untuk bersuara dan berorganisasi disekat..

Oleh itu, sistem politik, ekonomi dan sosial yang tidak adil perlu diperbetul, dan institusi pendidikan serta media hendaklah digunakan secara positif untuk menanam serta menggalakkan semangat patriotisme dan perpaduan.

Institusi-institusi yang baru hendaklah ditegakkan untuk menyatukan dan bukannya memisahkan rakyat. Jika semua ini tidak dilakukan, kerahan tenaga tidak akan memberi apa-apa makna. Apatah lagi jika ia dijalankan secara tidak profesional untuk kepentingan politik pemerintah semata-mata.