Apabila memo BBC dibakul sampahkan MB S'gor
Kerajaan Selangor bercadang membentangkan Belanjawan 2014 dengan keadaan gagal melihat isu rakyat secara dekat.
Hal ini termasuklah isu banjir, pengangkutan awam, Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) dan Universiti Selangor (UNISEL), ketelusan Geran Selangorku, hakisan tanah dan pemulihan cerun.
Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) yang dianggotai oleh ADUN PAS, PKR dan DAP - yang tidak mempunyai kepentingan sebagai exco - dan bertemu langsung dengan rakyat memajukan memorandum kepada menteri besar (MB) Selangor dan mengangkat isu besar berkenaan kepentingan rakyat.
Justeru, setelah memorandum BBC diserahkan kepada MB pada Jumaat, 18 Oktober 2013, diaturkan satu pertemuan antara ADUN Pakatan Rakyat Rakyat dengan MB pada 29 Oktober 2013.
Pertemuan 4 jam antara MB dan ADUN Pakatan Selangor pada 29 Oktober lalu di Bangunan Annex, pejabat SUK Selangor berlangsung secara komprehensif.
ADUN terlibat menyatakan kebimbangan mereka kepada MB berhubung respon kerajaan negeri yang terlalu lemah terhadap isu pembangunan di Selangor terutamanya yang melibatkan kepentingan rakyat.
Hampir kesemua ADUN Pakatan yang dipimpin Azmin Ali, Lau Weng San Hasbullah Ridzwan membangkitkan keresahan berkenaan sikap birokrasi MB dan kerajaan Selangor serta memberi cadangan berdasarkan memorandum yang disampaikan.
Selain itu, turut dibangkitkan isu penolakan ADUN terhadap cadangan MB Selangor untuk memotong RM100 juta dana pembangunan untuk rakyat.
Ini menjadikan Belanjawan Negeri Selangor 2014 tidak mengikut standard pengurusan ekonomi yang baik di mana belanja mengurus begitu besar berbanding belanja pembangunan untuk rakyat.
Hasil kritikan ini, MB berjanji kepada semua ADUN untuk memanggil mesyuarat lanjutan pada 5 November 2013 sebelum Belanjawan 2014 Negeri Selangor dimuktamad dan ditaklimatkan kepada semua ADUN pada 7 November 2013.
Namun, amat malang buat rakyat Negeri Selangor apabila MB membohongi para ADUN Pakatan dan tidak memanggil mesyuarat lanjutan pada 5 November 2013.
Hasil daripada taklimat Belanjawan 2014 kepada semua ADUN pada 7 November 2013 juga menunjukkan tidak ada satu pun perubahan atau isu yang dibangkitkan ADUN Pakatan Rakyat dipertimbangkan dalam Belanjawan 2014 yang akan diumumkan.
Ternyata memorandum dan suara ADUN Pakatan Selangor dibakul sampahkan oleh Tan Sri Khalid Ibrahim.
Kini Khalid berdepan dengan kemarahan ADUN berkaitan. Apatah lagi dalam taklimat Belanjawan 2014 tersebut, apabila ADUN membangkitkan isu banjir, Khalid memberi menjawab ia tidak penting dan tidak memerlukan peruntukan tambahan untuk mengatasinya.

