Merujuk kepada laporan Sinar Harian bertarikh 14 November 2013, halaman 20 yang bertajuk ‘Cabang PKR pandan dibubar", saya selaku ketua cabang Pandan ingin menafikan sekeras-kerasnya kenyataan dan berita tersebut.

Sukacita saya maklumkan bahawa PKR cabang Pandan tidak pernah dibubarkan dan masih berdaftar dengan Pendaftar Pertubuhan ROS dan badan induk PKR.

Tiada mana-mana ahli boleh membubarkan mana-mana cabang/organisasi kecuali ia dimaklumkan dan dilakukan oleh badan induk sesebuah organisasi itu sendiri atau dibubarkan oleh ROS.

Organisasi cabang PKR pandan masih lagi berfungsi dan masih mengadakan mesyuarat bulanan pada setiap bulan bersama anggota jawatankuasa kami.

Saya sendiri sebagai ketua cabang sentiasa menghadiri mesyuarat majlis pimpinan negeri Selangor setiap bulan dan terbaru pada hari ini.

NONEKenyataan Noh Omar (kiri) bahawa PKR Pandan dibubarkan satu pembohongan yang amat nyata dan contoh pemikiran politik kuno oleh pemimpin Umno.

Ia bertujuan menyembunyikan kelemahan Umno itu sendiri, terutama di Pandan yang mereka kalah teruk dan di dua Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Parlimen itu dalam pilihan raya umum ke-13 yang lepas.

Malahan, beliau tiada hak untuk mengeluarkan kenyataan kepada mana-mana media mengenai status sesuatu pertubuhan yang bukan dianggotai olehnya.

Kedangkalan beliau sebagai pemimpin Umno amat terserlah apabila beliau tidak faham Akta Pertubuhan 1966 yang memperuntukkan cara-cara pembubaran sebuah organisasi.

Kenyataan beliau menunjukkan bahawa beliau tiada wibawa sebagai pemimpin dalam pertubuhan.

Dan ini cubaan untuk menghina daya fikir masyarakat dan rakyat serta penyalahgunaan saluran media.

Lebih melucukan, beliau menganggap bilik gerakan pilihan raya sebagai sebuah organisasi berdaftar dengan mengatakan PKR cabang Pandan dibubarkan hanya kerana sebuah bilik gerakan ditutup.

Sedangkan di mana-mana tempat di seluruh negara, bilik gerakan pilihan raya sudah pun ditutup sebaik sahaja kempen pilihan raya berakhir.

Saya cabar Noh Omar dan kepimpinan Umno untuk membuktikan bilik gerakan pilihan raya mereka masih dibuka di mana-mana tempat di Malaysia.

Mengenai penyertaan Abdul Aziz Jusoh ke Umno, kami akui beliau adalah aktivis PKR

Pandan sejak awal penubuhan PKR cabang itu.

Tetapi beliau bukannya pimpinan kanan cabang pandan seperti dilaporkan oleh media dan pemimpin Umno.

Beliau aktif membantu parti sewaktu pilihan raya dengan menyediakan bilik gerakan pilihan raya di Pandan utama tetapi tidak aktif dengan aktiviti politik harian mahupun bulanan di cabang.

Bagaimanapun, kepimpinan cabang sentiasa menghormati dan hargai segala jasa dan usahanya sewaktu bertugas dalam setiap pilihan raya.

Pengorbanannya sangat kami sanjungi tetapi kami tidak mengenali yang lain-lain yang konon bersamanya.

Apapun, kami ucapkan selamat maju jaya kepadanya dan mendoakan agar beliau sentiasa dilindungi Allah dan diberi keberkatan dalam apa jua yang dilakukannya.


ZAKARIA AB RAHIM Ketua PKR cabang Pandan.