Peruntukan sukan Perak tak wajar untuk bola saja
Pemuda PAS Perak meminta pihak kerajaan negeri bersikap adil dalam memberikan peruntukan sukan yang disalurkan melalui Jawatankuasa Kesenian, Belia dan Sukan, Komunikasi dan Multimedia Negeri yang dipengerusikan oleh Datuk Shahrul Zaman Yahya terutamanya dalam arena bola sepak.
Ini berdasarkan kenyataan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Perak (PAFA), Datuk Zainol Fadzi Paharudin yang berkata bahawa PAFA menerima tajaan daripada kerajaan negeri untuk menganjurkan Liga Perak Amanjaya 2014 untuk tahun hadapan.
Kami mempertikaikan kaedah dan cara bagaimana peruntukan diberikan oleh pihak kerajaan negeri yang dilihat seolah-oleh memberikan keutamaan sukan bola sepak sahaja dan hanya sukan bola sepak sahaja diberikan peruntukan besar melalui Bajet 2014 Negeri Perak pada kali ini.
Sepatutnya dan sebaiknya, pihak kerajaan negeri sudah boleh memberikan pengumuman peruntukan sukan kepada semua sukan yang berpotensi dan bukan hanya sukan bola sepak yang lebih diutamakan sahaja dengan peruntukan yang besar daripada Bajet 2014 tersebut.
Dan dalam masa yang sama, kami juga melahirkan hasrat untuk melahirkan belia dan beliawanis yang cemerlang yang dapat dicapai melalui kecermelangan sukan di masa yang akan datang kelak.
Kami mengharapkan sukan-sukan lain juga diberikan peruntukan yang besar seperti sukan hoki, badminton, bola keranjang, berbasikal dan sukan-sukan tumpuan rakyat khasnya.
Kami berharap sikap adil kepada semua bidang sukan harus menjadi keutamaan kerajaan negeri pada tahun hadapan, ini kerana ianya akan menyemarakkan lagi minat sukan rakyat yang tidak hanya tertumpu kepada sukan bola sepak sahaja.
Kami mengharapkan peruntukan sukan diperluaskan kepada keperluan penyediaan kemudahan dan infrastruktur sukan yang tidak bersifat eksklusif tetapi ianya bersifat inklusif buat semua rakyat!
DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAACOB Ketua Pemuda PAS Perak.

