Saya melihat kerajaan di bawah pimpinan Datuk Seri Najib Abdul Razak cuba mengejar baki masa enam tahun ini untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju dan berpendapatan tinggi dengan apa cara sekalipun.

Ia seolah-olah kerajaan cuba ‘menghukum’ masa berbaki 6 tahun ini dengan beberapa kesilapan yang telah dibuat pada masa lalu dan krisis-krisis ekonomi yang tidak dijangka seperti kemelesetan ekonomi dunia 2008 dan krisis kewangan Asia 1997/98 tatkala Wawasan 2020 digarap 22 tahun yang lalu.

Kini, saya melihat beberapa fiskal polisi yang kurang efektif, pelaksanaan tidak mengikut garis masa yang sesuai dan bersifat terburu-buru sedang melanda negara seperti pelaksanaan GST, rasionalisasi subsidi dan pengumuman kemungkinan kenaikan harga tol.

Dan beberapa lagi yang dilaksanakan secara serentak ini memberi kejutan terhadap kenaikan harga barang secara langsung mahupun tidak langsung seterusnya meningkatkan kos sara hidup rakyat.

Kerajaan seolah-olah cuba menjadikan rakyat sebagai mangsa dalam fasa terakhir Wawasan 2020 ini untuk meningkatkan hasil negara yang secara tidak langsung adalah proses untuk mengurangkan hutang negara yang mencecah 53 peratus daripada KDNK negara.

Sebagai contoh, saya menyokong pelaksanaan GST dan kebaikannya dalam membaikpulih sistem percukaian Negara seperti mengatasi masalah ‘compound tax effect in supply chain’ dan ‘black market’.

Tetapi pelaksanaannya pada kadar 6 peratus melebihi kadar neutral, tambahan lagi di kala rakyat baru pertama kali dikejutkan dengan perkataan GST dan kefahamannya terlalu rendah.

Begitu jurang pendapatan antara yang kaya dengan yang miskin masih lagi tinggi serta pembaziran dan pemborosan kementerian-kementerian dan agensi-agensi kerajaan dalam menguruskan hasil negara sebelum ini (seperti yang didedahkan Jabatan Audit Negara) menyebabkan pelaksanaan tersebut pada masa yang telah ditetapkan kerajaan itu menjadi tidak efektif.

Kesan daripada pelaksanaan GST tadi, ditambah lagi apabila ia dilaksanakan secara serentak dengan beberapa polisi-polisi lain yang kesannya juga sama dalam mengurangkan pendapatan boleh guna dan meningkatkan kos sara hidup rakyat menjadikan ia lebih kritikal.

Saya menyokong perkembangan terbaru pengumuman 11 penjimatan kos pentadbiran kerajaan tapi ia masih belum memadai.

Banyak lagi item yang saya kira perlu diperhalusi seperti elaun-elaun kementerian yang tidak pernah diumumkan kepada rakyat seperti elaun perumahan, elaun hiburan, elaun kenderaan, elaun pelancongan tahunan dan banyak lagi.

Jika rakyat terpaksa dibebankan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, saya kira pihak pemerintah dan agensi-agensinya perlu lebih banyak berkorban.

Saya melihat solusinya hanya satu. Kerajaan mesti susun balik strategi dan muhasabah pemborosan dan pembaziran yang telah berlaku.

Kaji balik Wawasan 2020, adakah garis masa enam tahun berbaki ini masih lagi relevan bagi kerajaan melaksanakan misi.

Bagi saya, ia sudah tidak relevan dan mesti dilanjutkan. Jangan bebankan rakyat dengan strategi-strategi yang terburu-buru.

Saya melihat Wawasan 2020 yang digarap Tun Dr Mahathir Mohamad satu wawasan yang hebat tetapi banyak perkara yang kita tidak jangka telah berlaku seperti krisis-krisis ekonomi dan beberapa polisi yang kurang berkesan.


MUHAMMAD KAMARUL SETAPA presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya.