Isu pelaksanaan kembali Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) oleh bekas Perdana Menteri Tun Mahathir Mohamad dan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar yang dilaporkan di Bernama 10 Januari 2014 tidak perlu dilayan.

Kita harus terus sama-sama dalam satu rumpun memerangi sebarang pencabulan hak asasi terutama sekali dalam kes tahanan tanpa bicara.

Sebaliknya, kita harus terus berusaha agar Kem Tahanan Kamunting yang sebelum ini menempatkan tahanan-tahanan ISA dijadikan pusat pelancong bagi memperingati kezaliman kerajaan dalam memenjarakan seseorang itu tanpa bicara.

Pusat tarikan pelancong ini juga akan menjadi tarikan sempena Tahun Melawat Malaysia 2014.

Negara ini sudah cukup dengan akta yang digubal bagi mendakwa seseorang itu bukannya dengan cara menuduh dan memenjarakan seseorang itu dengan alasan, “kita sudah punya bukti yang kukuh”.

Bahkan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 atau ringkasnya SOSMA, diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 17 April, 2012, yang menggantikan ISA juga dianGgap sebagai sebuah akta yang pada beberapa peringkat lebih zalim daripada ISA.

SOSMA ialah sebuah akta yang kononnya " menyediakan langkah-langkah khas berkaitan kesalahan keselamatan bertujuan mengekalkan ketenteraman awam dan keselamatan dan bagi hal-hal berkait".

Seperti Buchenwald (Jerman), Kem Konsentrasinya menjadi tempat peringatan bagi rakyat Jerman dan seluruh dunia bagi memperingati sejarah kekejaman Nazi.

Sungguhpun terletak di penjuru tenggara Jerman sehingga ke persempadanan Republik Checkoslovakia, – Buchenwald ialah sebuah daerah di mana Nazi semasa sebelum Perang Dunia Kedua (1930-1945) menempatkan tahanan-tahanan politik dari Poland, Rusia, pelarian dan homoseksual ke sebuah kem tahanan.

Mereka dipaksa untuk bekerja di terowong-terowong dan melakukan pelbagai kerja berat tanpa upah (sebut buruh paksa) dan dibiarkan mati.

Seramai 1,100 tahanan mati di tempat tersebut termasuk kanak-kanak. Mereka mati akibat daripada tiada makanan, kesejukan dan sakit. Lebih kurang 75 tahanan mati setiap hari dan setiap hari juga tempat-tempat kosong tersebut diisi dengan tahanan-tahanan baru.

Bagi mereka yang ingkar untuk mematuhi arahan untuk bekerja akan dibunuh dengan kejam. Mayat-mayat mereka dilonggokkan di satu tempat, digantung di dinding sebelum dibakar. Abu-abu mayat disimpan dalam satu kendi khas.

Kem-kem tersebut diruntuhkan oleh tahanan-tahanan sebaik sahaja mereka dapati mereka bebas dan dibiarkan di kawasan lapang.

Blok-blok kem dibahagikan menurut Negara asal mereka bagi memaklumkan kepada kaum keluarga di mana ahli-ahli keluarga mereka sebenarnya ditempatkan dan mati. 

Terdapat jambangan-jambangan bunga di beberapa kem yang telah dikenalpasti mangsa kenalan mereka dikurung.

Tempat ini ditutup pada 1945 selepas berakhirnya Perang Dunia Kedua dan dibuka kepada umum sebagai tempat peringatan kepada keluarga-keluarga mangsa, pencinta hak asasi, demokrasi dan kesan sejarah yang amat bernilai kepada rakyat Jerman khususnya dan kepada masyarakat dunia amnya.

Sehingga kini Kem Konsentrasi Buchenwald sudah menerima berjuta pelawat seluruh dunia dengan tarikan multimedia dan papan-papan tanda serta pameran realistik yang semestinya menjana pendapatan kepada industri pelancongan Jerman.

Saya pasti dengan pengumpulan arkib testimonial mangsa-mangsa ISA termasuk tahanan yang berjaya menghabiskan khatam al-Quran 15 kali di Kem Tahanan boleh menjadi iktibar kepada kita semua.


HEE LOY SIAN ahli Parlimen Petaling Jaya Selatan.