Satu lagi projek gajah putih di Perak
Pemuda PAS Perak amat kesal projek Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNPk) pada 1998 yang menelan belanja RM14.49 juta bagi membina Kompleks Silveritage Galleria – bertujuan menjadikannya Pusat Budaya Utama Perak – satu pembaziran.
Bagaimanapun, pada 2004, ia dijadikan pula terminal bas antara negeri yang hanya bertahan selama hampir sepuluh tahun sahaja.
Bermula awal April 2013, semua operasi terminal bas di Medan Gopeng bertempat di Kompleks Silveritage Galleria diarah berpindah ke Terminal Bas Amanjaya di Meru Raya.
Manakala semua gerai sedia ada di Kompleks tersebut ditutup. Terbaru, didirikan pagar bagi menutup bangunan Kompleks Silveritage Galleria.
Kami sekali lagi amat kesal, kenapakah ia ditutup ketika negara sedang menyambut pelancong asing sempena Tahun Melawat Malaysia?
Justeru, kami merasakan penjelasan perlu diberikan oleh kerajaan negeri Perak dan PKNPk.
Kenapakah Kompleks Silveritage Galleria perlu melalui keadaan sedemikian?
Dan apakah rancangan pada masa hadapan untuk pemulihan semula Kompleks Silveritage Galleria yang dilihat seperti sebuah projek ‘gajah putih’ sahaja.
Kami melihat seolah-oleh pihak kerajaan negeri tiada usaha bagi mengatasi masalah tersebut dan tanpa perancangan yang mampu memberikan impak positif kepada Kompleks Silveritage Galleria kembali!
DR RAJA AHMAD ISKANDAR RAJA YAAKOB ketua Pemuda PAS Perak.

