Beberapa siri Gelombang Biru dan program "pemimpin Bersama Rakyat" yang terang-terang dianjurkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN), telah diadakan di tempat terbuka di Kelantan dan Terengganu yang diperintah oleh kerajaan PAS..

Kesimpulannya ialah betapa terbukanya kerajaan PAS di kedua-dua negeri tersebut yang membenarkan program seumpama tersebut diadakan.

Dan kalau kita pergi ke negeri-negeri yang dikuasai BN/Umno pula, program seumpama itu tidak akan dapat diadakan oleh PAS atau mana-mana parti pembangkang.

Kalau diadakan juga, polis akan mengepung dan memaksa ianya ditamatkan atau menerima pancutan air atau gas pemedih mata dari anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU).

Malah, jika program parti pembangkang dijalankan secara tertutup di markaz parti itu sendiri pun, ianya akan dikepung dan dipaksa dihentikan oleh pihak polis.

Rakyat juga akan melihat betapa wang rakyat (bekas wang royalti) digunakan dengan banyaknya untuk BN/Umno, sedangkan ianya bukanlah harta parti itu, tetapi merupakan wang semua rakyat.

Sebaliknya, dapat kita simpulkan bahawa matlamat program "gelombang biru" atau "pemimpin bersama rakyat" anjuran Umno dan BN itu, sebenarnya menjadi bukti bahawa kerajaan PAS adalah bersikap terbuka dan demokratik.