Tak benar SYABAS punca masalah air
Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS) ingin merujuk kepada pernyataan yang dibuat oleh ahli Parlimen PAS Shah Alam, Khalid Samad yang mengatakan kononnya punca masalah air adalah disebabkan SYABAS gagal menangani masalah paip bocor dan menyebabkan pembaziran air berlaku.
Dakwaan beliau ini telah disiarkan di dalam akhbar tempatan bertarikh 21 April 2014.
Untuk pengetahuan umum, isu yang melanda industri bekalan air di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya pada masa ini adalah disebabkan kekurangan bekalan air terawat untuk pengguna yang berpunca dari tiga sebab utama.
Pertama disebabkan oleh kekurangan bekalan air mentah, kedua kekurangan kapasiti loji rawatan air dan ketiga kekurangan kapasiti sistem agihan untuk menyalurkan bekalan air ke premis pengguna.
Untuk makluman, ketiga-tiga faktor ini bawah bidang kuasa pihak-pihak yang berlainan iaitu kerajaan negeri Selangor bagi bekalan air mentah, kerajaan negeri Selangor/syarikat operator loji rawatan air bagi kapasiti rawatan air dan kerajaan negeri Selangor/SYABAS bagi kekurangan kapasiti sistem agihan.
Dalam suasana masa kini di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya, kekurangan bekalan air terawat yang telah diperkatakan sejak beberapa tahun dahulu adalah berikutan kapasiti rawatan air loji-loji rawatan sedia ada tidak lagi mampu untuk menampung peningkatan permintaan pengguna.
Untuk makluman, dalam keadaan biasa jumlah permintaan pengguna adalah pada sekitar 4,650 Juta Liter Sehari (JLH) sedangkan jumlah pengeluaran loji rawatan air yang boleh diagih adalah sebanyak 4,686JLH.
Berikutan itu, kekurangan bekalan air terawat telah menjadi kritikal dengan rizab lebihan simpanan air terawat berada bawah 1peratus. Keadaan ini berlawanan dengan amalan baik industri bekalan air yang perlu mempunyai rizab lebihan antara 10 peratus hingga 20 peratus.
Keadaan bekalan air terawat di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya ini bukan hanya andaian tetapi fakta yang sahih dan diperakui oleh pihak-pihak yang berkuasa dan berkepentingan.
Bagi mengatasi masalah ini, kapasiti rawatan perlu ditambah sama ada melalui penaiktarafan loji-loji rawatan sedia ada mahupun pembinaan loji-loji rawatan air tambahan dan baru.
Dan, tanggungjawab mempertingkatkan kapasiti rawatan air adalah bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor sementara tanggungjawab merawat air adalah bawah bidang kuasa syarikat-syarikat operator loji rawatan air yang dilantik oleh kerajaan negeri Selangor.
Punca kedua yang menyebabkan berlakunya kekurangan bekalan air terawat masa ini sehingga kerajaan negeri Selangor memutuskan agar catuan bekalan air dilaksanakan adalah kerana berlakunya kekurangan bekalan air mentah iaitu tanggungjawab bawah bidang kuasa kerajaan negeri Selangor.
Dalam perkara ini, kekurangan bekalan air mentah berlaku disebabkan oleh dua punca.
Pertamanya, ekoran penutupan dua loji rawatan air (LRA) Cheras Batu 11 dan LRA Bukit Tampoi kerana air mentah dari Sungai Langat tidak lagi boleh dirawat apabila kandungan ammonia sering berada di paras yang tinggi.
Penutupan kedua-dua loji rawatan air ini telah menyebabkan kuantiti bekalan air terawat di negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berkurangan sebanyak 56JLH.
Keduanya, disebabkan paras simpanan air mentah di empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates yang telah menurun ke paras kritikal.
Sehubungan dengan itu, kerajaan Negeri Selangor telah mengambil keputusan untuk mengurangkan jumlah pelepasan air mentah sebanyak 1,000JLH dan 30JLH masing-masing dari empangan Sungai Selangor dan empangan Klang Gates.
Keputusan ini diambil oleh kerajaan negeri Selangor bertujuan untuk memanjangkan tempoh simpanan air mentah kedua-dua empangan.
Berikutan itu, lima buah loji rawatan air yang mendapatkan bekalan air mentah dari empangan Sungai Selangor dan dua loji rawatan air yang bergantung kepada empangan Klang Gates untuk bekalan air mentah terpaksa mengurangkan pengeluaran air terawat masing-masing.
Untuk makluman, kelima-lima loji rawatan air yang mendapatkan bekalan air mentah dari empangan Sungai Selangor membekalkan hampir 2,900JLH (sekitar 60 peratus) keperluan air terawat negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
Punca ketiga yang menyebabkan bekalan air terawat tidak sampai sepenuhnya kepada pengguna adalah disebabkan oleh ketidakmampuan sistem agihan sedia ada untuk menyalurkan sepenuhnya bekalan air yang dikeluarkan oleh loji-loji rawatan air.
Antara keadaan kekurangan bekalan air terawat yang berpunca dari situasi ini adalah seperti yang berlaku pada LRA Sungai Rasa yang diurus oleh Syarikat Pengeluar Air Selangor Sdn Bhd (SPLASH).
Loji rawatan ini berkemampuan untuk mengeluarkan sehingga 250JLH air terawat namun pengeluaran masa kini terpaksa dihadkan kepada 150JLH kerana sistem agihan untuk menyalurkan pengeluaran sepenuhnya kepada pengguna tidak ada (masih dalam pembinaan).
Perkara kedua yang menyebabkan situasi ini adalah keadaan sistem paip agihan yang telah usang dan berusia menyebabkan sering bocor dan pecah sekaligus menyumbang kepada kehilangan air tanpa hasil (NRW).
Dalam aspek ini, kadar NRW dari sistem agihan bekalan air yang diurus oleh SYABAS di Negeri Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya berada di paras 34 peratus, setelah menurun ke paras 32 peratus pada tahun 2008 daripada 43 peratus pada tahun 2005, tahun bermula pengambil alihan pengurusan pengagihan bekalan air terawat daripada Perbadanan Urus Air Selangor Berhad (PUAS), syarikat milik penuh kerajaan negeri Selangor pada masa tersebut.
Dalam perkara ini, penurunan kadar NRW seterusnya terjejas disebabkan keputusan kerajaan negeri Selangor membekukan sebahagian besar program kerja dan pelaburan untuk tujuan ini sejak tahun 2008.
Berdasarkan penjelasan yang diberikan, diharapkan Khalid Samad lebih memahami situasi sebenar yang dihadapi SYABAS kini.
Dalam perkara ini juga, pihak SYABAS amat bersedia dan malah sentiasa berganding bahu dengan pemimpin wakil-wakil rakyat dan pemimpin-pemimpin masyarakat dalam berkongsi maklumat yang tepat untuk kepentingan pengguna.
PRISCILLA ALFRED penolong pengurus besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd.

