Akta antipemerdagangan manusia perlu diperketat
Aktiviti pemerdagangan manusia menjadi jenayah kedua terbesar di dunia selepas jenayah pengedaran dadah.
Bagi Malaysia pula berada pada kedudukan ke-16 dalam senarai negara yang terburuk dalam jenayah haram ini.
Persoalannya kini, apakah impak negatif kegiatan haram ini terhadap manusia pada globalisasi ini?
Apakah inisiatif-inisiatif yang wajar diambil untuk membanteras penyakit sosial tersebut?
Pernahkah manusia sedar bahawa aktiviti pemerdagangan manusia meninggalkan kesan yang buruk terhadap seseorang individu iaitu menyebabkan mangsa yang terlibat mengalami gangguan mental dan fizikal?
Kondisi ini boleh dilihat apabila mangsa-mangsa ini berada dalam keadaan tertekan serta ketakutan kerana mereka terpaksa melakukan pekerjaan secara terpaksa dan bukan secara suka rela.
Aktiviti seumpama ini kadang kala dilakukan tanpa bayaran kerana mangsa tidak diberikan gaji tetapi mereka hanya diberikan tempat tinggal serta makan dan minum sebagai saraan hidup.
Perkhidmatan mereka seolah-olah dipergunakan oleh pihak yang tidak berwajib.
Sekiranya mereka tidak mengikuti perintah pihak terbabit, mereka mungkin didera dan dihukum dengan lebih berat.
Hal ini menyebabkan segelintir daripada mangsa pemerdagangan manusia ini mengalami kecederaan fizikal seperti lebam-lebam akibat dipukul oleh pihak majikannya.
Sehubungan itu, mangsa turut akan menanggung malu seumur hidup. Fenomena ini menyebabkan mangsa tidak suka berhadapan dengan khalayak umum kerana mereka mungkin dikeji atau dihina atas perbuatan yang terkutuk seperti melacur atau mengemis.
Mangsa-mangsa aktiviti pemerdagangan manusia lebih suka memencilkan diri daripada bergaul dengan orang ramai .
Oleh itu, mereka takut akan terjerumus dalam kegiatan haram ini lagi di samping turut bimbang akan perspektif masyarakat terhadap mereka.
Tidak dinafikan, masyarakat perlulah menimbangkan perasaan mereka dan berfikir secara rasional dengan tidak mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan mangsa pemerdagangan manusia.
Pada pandangan saya dari sudut masyarakat, penularan penyakit berjangkit akan berlaku dalam negara dengan cepat.
Pemerdagangan manusia yang semakin berleluasa memudahkan wabak penyakit menular di Malaysia.
Wabak penyakit seperti HIV, AIDS, H1N1, tibi dan sebagainya mudah merebak sekiranya aktiviti pemerdagangan manusia tidak dikawal oleh pihak yang bertanggungjawab.
Penyakit berjangkit ini bukan sahaja mudah merebak malahan ia boleh membawa maut kepada masyarakat am ini.
Tegasnya, aktiviti pemerdagangan manusia ini perlulah dibendung dengan kadar segera agar masyarakat tidak berasa bimbang akan penyakit berbahaya di sekeliling mereka.
Pihak kerajaan sememangnya memainkan peranan yang amat penting dalam melaksanakan pelbagai mekanisme dalaman bagi membendung jenayah pemerdagangan manusia yang disebabkan oleh faktor kelemahan negara asal mangsa dalam mendidik dan mencegah mangsa sehingga mangsa terpedaya oleh sindiket tersebut.
Contohnya, Akta Anti Pemerdagangan Orang Dan Anti Penyeludupan Migran tahun 2007 yang dikuat kuasa pada 15 Nov 2010 perlulah diketatkan sebaik mungkin agar memberi keadilan dan perlindungan kepada mereka.
Jenayah ini sekaligus membawa kepada pelbagai kesan atau keburukan kepada pembangunan negara Malaysia dari pelbagai aspek.
HII HIE ING mahasiswi Pengajian Komunikasi Media Universiti Kebangsaan Malaysia.

