Tahniah atas perlantikan Abdullah Badawi
Kami, bagi pihak diri sendiri dan juga Parti Keadilan Rakyat, dengan tulus ikhlas mengucapkan setinggi tahniah kepada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi atas perlantikan sebagai Perdana Menteri ke-5 Malaysia.
Sebagai perdana menteri yang baru, Datuk Seri Abdullah sudah tentu akan menghadapi berbagai-bagai cabaran, antaranya beberapa masalah lama yang diwarisinya. Kami berharap Datuk Seri Abdullah akan menangani segala cabaran dan menyelesaikan semua masalah secara demokratik atas asas keadilan, kebenaran dan kesaksamaan.
Pada ketika ini, kewibawaan dan kebebasan tiga institusi yang merupakan tonggak demokrasi, iaitu kehakiman, polis dan akhbar sudah banyak terhakis dan tercemar. Perdana menteri baru perlu mengambil peluang untuk membawa perubahan atau reformasi ke atas institusi-institusi ini supaya kewibawaan dan kebebasannya dapat dipulihkan dan rakyat ramai yakin dan percaya terhadapnya.
Datuk Seri Abdullah berpendidikan tinggi dalam bidang pengajian Islam dan keturunan dari ulamak-ulamak yang ternama. Kami berdoa semoga sebagai perdana menteri beliau akan mendukung serta memperaktikkan asas-asas keadilan dan kasih sayang yang diajar oleh Islam dan juga semua agama besar yang dianuti di negeri ini.
Dr Wan Azizah Wan Ismail, Presiden Parti Keadilan Rakyat dan Dr Syed Husin Ali, Timbalan Presiden, Parti Keadilan Rakyat

