Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Selepas PRU13, di tiga buah negeri BN, Pakatan Rakyat mencatatkan jumlah kerusi negeri (DUN) yang sangat memberangsangkan iaitu Negeri Sembilan, Perak dan Johor. Tanpa perlu berselindung atau memuji, DAP menang seratus peratus di Perak dan Negeri Sembilan dan Johor hanya gagal pada satu kerusi sahaja.

Bagi PKR dan PAS, ketiga-tiga negeri ini tidak cukup menyumbang, namun peningkatan itu ada, lebih-lebih lagi di Johor. Maka secara objektifnya agak mudah, PKR dan PAS mesti kerja lebih padu lagi dan DAP pula jangan goyang kaki, kena terus kekalkan momentum kerja. Kerja pula haruslah secara berpasukan.

Namun, bukan ini yang ingin saya sampaikan di sini. Bagi saya, sedikit atau banyak kerusi Pakatan di negeri BN, ia hanya akan jadi statistik semasa. Selangor, sebagai negeri yang mempunyai majoriti Pakatan, tetapi dilihat tidak bekerja secara berpasukan. Ini negeri yang diperintah Pakatan, bagaimana pula di negeri BN yang mana Pakatan sebagai pembangkang tetapi memiliki jumlah kerusi yang signifikan?

Seperti juga dengan sukan bola sepak, di atas kertas nama pemain dan reputasinya hebat tetapi berlainan sekali apabila bola mula bergolek di atas padang.

Jurulatih bola saya sewaktu dalam pasukan sekolah mengajar bahawa, serangan yang baik banyak bergantung pada pertahanan yang mantap. Dan untuk bertahan, kena bermula di barisan hadapan (serangan). Ini teori beliau.

Saya masih ingat, di peringkat separuh akhir, pada separuh masa pertama pasukan sekolah saya mendahului dua gol kosong. Dalam kejohanan itu sekolah saya adalah pasukan pilihan kerana telah menjadi juara dua kali berturut-turut dalam kejohanan yang lalu.

Maka tahun itu kami dijangka menjuarainya sekali lagi buat kali ketiga berturut-turut, apatah lagi dalam perlawanan itu kami sudah di separuh akhir dan mendahului dua gol kosong ketika berdepan dengan pasukan yang agak lemah. Waktu rehat separuh masa pertama, kami sudah berpelukan gembira tanda sudah yakin akan kemenangan dan dah tak sabar nak ke final.

Tetapi apa yang berlaku dalam separuh masa kedua hingga wisel penamat, pasukan kami tewas 3-2. Pengalaman pendek dan kecil ini saya kongsi kerana Pakatan pada suatu ketika, berada di landasan yang sangat baik untuk menempa perubahan, namun itu telah menjadi sejarah dan tak perlu dikisahkan lagi.

Namun soalannya, kini dan masa hadapan. Apakah kita akan ‘bermain’ sebagai satu pasukan atau terpisah-pisah kerana kita anggap ‘skil’ kita berbeza. PKR mungkin rasa skilnya hanya mahu menyerang dan skor gol, maka mereka tak begitu peduli tentang barisan pertahanan yang diletakkan kepada DAP kerana ‘skil’ DAP dalam konteks pengundi 'Cina', mampu mempertahankan undi sebagai sokongan tetap kepada Pakatan.

Begitu juga dengan PAS, adakah mereka hanya berminat bermain di tengah dengan isu-isu tipikalnya kerana ‘skil’ lamanya dengan pengundi Melayu? Mereka boleh naik menyerang dan turun bertahan atau main tepi di sayap sesuka hati dan bila dia suka.

Contoh baik untuk dirujuk adalah krisis MB Selangor. One man show tidak akan membawa Pakatan dan rakyat ke mana-mana. Ya, Khalid pernah menjadi ‘bintang’ kerana beberapa kejayaan yang dapat beliau ‘skor gol’. Maka pasukan dan rakyat pun bersorak gembira.

Namun, kejayaan beliau itu adalah dari kerjasama sepasukan. Dalam penggal ini taktik sebegitu belum tentu baik dan berkesan, lain kejohanan lain padangnya.

Kita (Pakatan) adalah satu pasukan walaupun tak berdaftar, itu bukan isunya. Apabila sudah seia sekata untuk bersama dalam satu pasukan dengan berkongsi kekuatan dan kelemahan, maka kita perlu bekerja sebagai satu pasukan. Berlatih, merancang, menyerang dan bertahan bersama-sama. Tak boleh seorang saja nak jadi penjaring gol, yang lain kerja kejar bola untuk seorang tu.

Bagi pemain yang cedera atau prestasinya merosot, maka perlu direhatkan dan diganti dengan pemain baru yang lebih berstamina dan berkebolehan.

Pemain yang bermasalah dalam padang, yang suka main solo dan lokek bola, boleh kita jual atau lepaskan secara percuma, mungkin kelab lain mahu membelinya.

Begitu juga dengan pemain yang dah kena beli, maka itu perlu kita lepaskan kerana jika tidak, pemain ini akan membebankan pasukan.

Namun, jangan lupa, jurulatih juga boleh ditukar dengan mendapatkan jurulatih baru yang lebih baik demi kejayaan pasukan. Sebaiknya jurulatih tempatanlah.


MAHDZIR IBRAHIM adalah ahli jawatankuasa Pemuda Sosialis DAP kebangsaan, juga pendukung seni dan kebudayaan.

Lihat Komen
ADS