Syabas TV3 kerana mendedahkan kesusahan rakyat, khususnya wargatua di Kampung Munggal, Kuala Pilah, Negeri Sembilan (Berita TV3 jam 8 malam pada 26 Mac 2004).
Apakah ini dasar baru TV3 untuk mendedahkan kawasan yang diwakili oleh wakil rakyat Barisan Nasional (BN), khususnya Umno. Nampaknya, kebanyakan penduduk di sana masih lagi hidup seperti zaman sebelum merdeka (tanpa kemudahan air paip).
Apa sudah jadi? Kalau diperhatikan betul-betul, mereka ini lebih daif dari penduduk Kelantan dan Terengganu yang selalu TV3 gambarkan sebagai mundur di bawah kerajaan PAS.
Tetapi kenapakah berita ini (mengenai wargatua di Kampung Munggal) hanya disiarkan selepas pilihanraya umum? Apakah kerana takut Umno akan kalah?
Jadi sekarang anda sudah tahu yang wakil rakyat kawasan terbabit "tidur" sepanjang masa. Ke manakah peruntukan yang diluluskan oleh kerajaan, disalurkan?
Harap-harap (Ketua Pegawai Operasi TV3) Dato' Farid Riduan tidak akan dipanggil mengadap oleh Menteri Penerangan yang baru bagi menjelaskan kenapa pekong ini didedahkan.
