Untuk berkuasa di dalam kerajaan yang mengamalkan pemerintahan sistem demokrasi yang berbilang parti, sesebuah parti politik itu perlu mendapat undi majoriti daripada rakyat. Untuk mendapatkan undi majoriti setiap parti kenalah berusaha untuk menjadi popular.

Dalam usaha mencari sokongan rakyat, kadang-kadang parti-parti politik ini cenderung mengambil jalan singkat yang tidak bermaruah untuk menarik sokongan mereka. Kadang-kadang parti-parti ini tidak dapat memisahkan atau membezakan antara matlamat untuk mencapai kemenangan dengan matlamat perjuangan parti mereka.

Kalau kita melihat suasana di Malaysia sendiri, parti-parti politik yang ada - sama ada parti yang memerintah dan juga parti-parti pembangkang - menggunakan kaedah politik popular ini dalam menarik sokongan rakyat.

Salah satu cara yang biasa digunakan oleh parti-parti politik ini ialah dengan menanamkan rasa benci rakyat terhadap parti lawannya. Apabila ini berlaku, maka ini sudah tentu dapat menjamin rakyat tidak akan mengundi parti lawannya. Ini adalah cara yang paling berkesan sekali untuk mengalihkan sokongan rakyat kepada partinya.

Lantaran itu, bermacam-macam cara digunakan supaya rakyat sentiasa berasa benci terhadap parti lawan. Sebagai contoh, pernah di kalangan ahli parti PAS, pada suatu masa dulu, dengan memanipulasi tafsiran al-Quran, sehinggalah keluar dakwaan kononnya ahli Umno adalah kafir, sembahyang berimamkan orang Umno tidak sah, bernikah menggunakan imam kerajaan juga tidak sah.

Ini diakui sendiri oleh pemimpin PAS. Ini semua dilakukan semata-mata untuk menanamkan rasa benci kepada parti Umno. Mereka menggunakan agama bagi menakut-nakutkan orang ramai daripada menyertai atau menyokong Umno. Taktik ini sungguh berkesan untuk jalan singkat bagi mencapai kemenangan, kerana tentulah ramai orang akan berasa bimbang akan menjadi kafir kalau menyertai Umno.

Kadang-kadang kurang fahaman rakyat terhadap agama Islam telah diambil kesempatan oleh parti-parti politik ini. Menggunakan sentimen agama sebagai modal politik murahan bukan saja berlaku di Malaysia, tetapi juga di negara-negara lain yang mengamalkan sistem ini.

Pernah di suatu masa dulu di India, parti pelampau Hindu BJP, menghasut penganut Hindu untuk merobohkan sebuah masjid tua yang tidak digunakan lagi supaya didirikan kuil Hindu setelah entah dari mana mereka dapat ada dalil yang mengatakan lokasi masjid itu adalah tapak kuil Hindu.

Ternyata taktik begini sungguh berkesan, parti BJP telah mendapat kemenangan dalam pilihanraya selepas itu dan dapatlah mereka memerintah India.

Tetapi selepas itu, nasib masjid lama itu seperti itu juga dan kuil tidak juga dibina di situ. Ini semua kerana kes masjid dan kuil itu bukanlah matlamat BJP. Matalamat sebenarnya ialah untuk menang dalam pilihanraya saja.

Kalau di Malaysia pun begitu jugalah keadaannya, PAS boleh mendirikan masjid seberapa banyak yang dia mahu di Malaysia sebagai sumbangannya kepada Islam. Tetapi perkara ini tidak pernah diberi keutamaan oleh PAS kerana ia tidak memberi atau menambah populariti parti itu di kalangan rakyat.

Ini kerana rakyat tahu masjid yang disumbangkan oleh Umno jauh lebih banyak di negara ini. Oleh itu, PAS mecari-cari ruang yang tidak mungkin dapat dipenuhi oleh Umno seperti perlaksanaan hukum hudud dan penubuhan Negara Islam yang bukanlah tersangat utama berbanding yang lain-lain itu.

Hukum hudud dan negara Islam ini samalah seperti gunung yang tidak akan lari untuk dikejar. Malah pemimpin PAS, Fadzil osendiri mengakui Negara Islam itu bukanlah boleh dibentuk dalam masa yang singkat. Tetapi mereka tetap juga menggunakan isu ini untuk menampakkan partinya sebagai parti pejuang Islam.

Namun begitu ramai juga di kalangan ahli PAS ini yang ikhlas menggunakan parti untuk memperjuangkan Islam. Mereka itu tidak mementingkan kemenangan, sebaliknya mahu Islam itu tersebar dan dihayati oleh manusia. Sebenarnya seorang manusia yang beriman dan takwa di dalam parti mana sekalipun, pasti mempunyai cita-cita untuk mendirikan negara Islam dan melaksanakan hukum hudud.

Bagaimanapun, cara dan pendekatan ke arah mencapainya saja mungkin berbeza. Oleh itu, kita perlu bijak memilih pendekatan. Ikutlah keadaan dan suasana. Kadang-kadang ada masanya niat yang murni itu lebih baik tidak dicakap-cakapkan atau dicanangkan.

Sepatutnya, di dalam negara yang mengamalkan sistem dan semangat demokrasi, parti atau pihak yang kalah mesti bersedia menerima kekalahan mereka dengan hati yang terbuka. Tetapi oleh kerana perasaan benci yang tebal di hati mereka, perdana menteri negara ini hanya menjadi perdana menteri bagi penyokong dan parti yang menang sahaja, dan dia tidak dapat diterima sebagai perdana menteri bagi penyokong atau parti yang kalah.

Begitu juga dengan pihak yang menang. Kerana benci kepada pihak yang kalah, maka mereka tidak teragak-agak untuk menganaktirikan pihak yang kalah dalam melaksanakan program-program mereka. Akhirnya perasan benci sesama umat Islam makin menebal dan perasaan kasih sayang sesama saudara seIslam semakin pupus.

Kita dibolehkan berbeza pendapat dan fahaman politik tetapi janganlah sampai mengorbankan persaudaraan dan kesatuan umah. Umat Islam boleh saja mempunyai berbilang parti politik tetapi biarlah bersaing secara yang sihat dan bermaruah.