Apakah bezanya kita?
Saya rasa 'terpanggil' untuk menulis selepas membaca surat Anak Perelih Tapak UiTM dipilih masa Anwar . Dalam surat berkenaan, penulis mengkritik Barisan Nasional (BN) kerana memutarbelitkan fakta 'sumbangan' Anwar.
Namun, tanpa disedari, penulis telah meludah ke muka Anwar dengan menimbulkan fakta yang betul. Penulis mengatakan bahawa pembinaan kampus UiTM di Permatang Pauh telah dibuat oleh Anwar sendiri semasa beliau masih timbalan perdana menteri.
Maka, persoalannya, adakah tapak kampus tersebut dipilih kerana kesesuaiannya, atau semata-mata kerana Anwar menjadi ahli Parlimen kawasan tersebut? Jikalau ia dipilih atas sebab kedua, bukankah ini suatu penyalahgunaan kuasa untuk kepentingan sendiri?
Maka, apakah bezanya Anwar daripada pemimpin lain yang beliau dakwa sering menyalahgunaan kuasa mereka? Harus ditegaskan, 'sumbangan' Anwar ini tidak mungkin berlaku andainya bukan kerana rakyat Malaysia membayar cukai untuk kepentingan negara.
Harus ditegaskan disini, saya bukanlah anti-Anwar. Saya cuma melihat Anwar sebagai seorang ahli politik, sama seperti ahli-ahli politik yang lain. Beliau mengambil risiko dalam percaturan politik dan tewas dalam percubaan tersebut.
Beliau adalah salah seorang daripada Umno sebelum ini dan pernah menikmati hasil penyalahgunaan kuasa dalam sistem politik Malaysia.
Dua fakta ini yang sering diketepikan oleh penyokong Anwar. Andainya kita jujur dalam pendirian kita, kita harus melihat seluruh gambaran, bukannya memilih untuk menekankan aspek yang positif sahaja.
Andainya begitu, apalah bezanya kita daripada hipokrit politikus yang kita kecam?


Are you sure you want to delete this comment?
This action cannot be undone.