Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Seorang negarawan boleh disebut secara tepat sebagai tokoh yang berprestasi (berjasa) dan telah lama berkecimpung dalam kancah politik nasional dan internasional.

Tokoh yang berjasa pada rakyat dan negara adalah tokoh yang mengabdikan pemikiran dan bakti tenaganya bagi kemajuan bangsa dan negaranya jauh lebih utama berbanding dirinya.

Kepimpinan negarawan tentu saja sangat terkait dengan komitmen kenegaraan. Sikap tersebut menuntut para pemimpin politik untuk mengelakkan kepentingan peribadi dan kelompoknya.

Sebaliknya sedaya upaya untuk mengangkat kepentingan rakyat dan Negara yang lebih besar.

Negarawan adalah orang yang berjasa dan berkorban demi rakyat dan negara tanpa memandang latar belakang politiknya. Seorang negarawan juga mesti menguruskan negara dengan benar dan dalam masa yang sama mempunyai karakter moral yang penuh budi.

Negarawan harus pasti menjadi qudwah kepada rakyat di bawahnya dan mampu diteladani rakyat dengan sepenuh hati.

Mempunyai watak yang baik dan sentiasa menjaga nama baik dan citra dirinya dengan melakukan manfaat-manfaat dan sentiasa berfikir tentang idea besar untuk membangun negara.

Masa terus berlalu dengan begitu pantas. Sejarah mencatatkan berbagai peristiwa hitam yang telah berlaku pada negara ini. Saya tidak pernah risau dengan krisis yang melingkari setiap sudut rakyat dan Negara ini.

Saya tahu bahawa krisis yang berlaku adalah merupakan sebuah takdir bagi setiap negara dunia.

Namun, kebimbangan yang lebih besar adalah ketika krisis besar itu terjadi, kita umpama kepupusan negarawan yang mampu teguh berhadapan dan mengatasi krisis tersebut.

Keadaan ini jauh lebih bahaya kerana ianya memberi isyarat nazaknya sebuah bangsa dan negara.

ketika krisis itulah, seharusnya hadir para wira negarawan yang akan mampu mengelola krisis.

Mereka akan mengubah halangan menjadi peluang, kelemahan menjadi kekuatan, cemas menjadi harapan, ketakutan menjadi keberanian dan daripada krisis menjadi berkah. Benteng akhir pada rakyat pada krisis ini adalah harapan.

Negarawanlah yang akan membangun dan menciptakan benteng harapan itu.

Mungkin para negarawan tidak menjanjikan penyelesaian masalah krisis dengan instant. Cukuplah mereka hanya membangunkan inti dari kehidupan yakni tercapainya harapan.

Negarawan jangan ditunggu kedatangannya atau menggodanya untuk hadir. Sesekali jangan pernah tunggu kedatangannya.

Seperti orang yang tertindas menunggu ‘Malaikat Adil’ yang tidak kunjung tiba, negarawan tidak pernah datang.

Bahkan negarawan itu sudah ada di sini. Mereka lahir dan membesar di tanah bertuah, negara Malaysia yang kita cintai ini. Mereka adalah aku, kau dan kita semua. Negarawan bukan orang lain tetapi kita juga.

Negarawan belum memulakan lagi langkahnya. Mereka hanya perlu merintis impi dan mengorak mula untuk merebut takdir menjadi Kepahlawanan dan negarawan.

Sehingga akhirnya mereka meletakkan Malaysia ke mercu dunia dirai sebagai hadirnya sebuah negara yang bermartabat dan tinggi daya saing. Selamat Menyambut Hari Malaysia.


ZAIEM IRSYAD pengerusi Ikatan Profesional dan Graduan Selangor (PROGRESIF).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS