Majlis Daerah Hulu Selangor ingin memaklumkan bahawa sepanjang Ogos 2014 MDHS menjalankan operasi sita pusat siber tanpa lesen, operasi ke atas pembuangan sampah haram, operasi denggi, operasi premis makanan tanpa lesen, dan operasi ke atas aktiviti karaoke terbuka di tempat awam.

Sepanjang tempoh itu sebanyak lima kompaun dan tiga notis am dikeluarkan.

Dalam operasi yang melibatkan pusat siber yang beroperasi tanpa lesen, dua buah premis telah diserbu dan sebanyak 67 unit komputer telah di sita.

Tindakan diambil mengikut Undang Undang Kecil Pusat Siber dan Kafe Siber (MDHS) 2007.

Bagi operasi ke atas pemantauan pembuangan sampah haram, penguatkuasa MDHS berjaya menangkap si pelaku dan empat kompaun telah dikeluarkan kepada orang awam yang membuang sampah di kawasan berkenaan.

Tindakan ini mengikut Undang Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan,dan Pelupusan Sampah (MDHS) 2007.

Tindakan tegas diambil berikutan kedegilan si pelaku yang ingkar dengan larangan yang telah dikeluarkan.

MDHS mengambil serius terhadap sikap orang awam yang membuang sampah secara haram meskipun papan tanda larangan telah dipamerkan di lokasi.

Yang amat dikesali adalah sikap berani dan tidak bertanggungjawab orang awam yang membuang sampah di situ kerana lokasi adalah jalan di kawasan perumahan dan berhampiran pusat perniagaan yang mana orang ramai melalui kawasan tersebut.

Penduduk sekitar diseru memberikan kerjasama dengan memberikan maklumat kepada MDHS bagi memastikan aktiviti seperti ini dapat dibanteras.

Dalam operasi lain MDHS turut bekerjasama dengan Pejabat Kesihatan Daerah Hulu Selangor dalam usaha menggempur penularan wabak denggi.

Dalam operasi tersebut MDHS telah mengeluarkan Notis Am terhadap pemilik rumah yang gagal menjaga kebersihan rumah.

Tindakan diambil bawah seksyen 81, Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) yang memperuntukkan kesalahan bagi mana mana orang yang membiarkan rumah dalam keadaan kotor .

Operasi ini dilaksanakan bagi membendung penularan demam denggi yang semakin berleluasa.

Bagi operasi pemantauan premis makanan yang beroperasi tanpa lesen di Serendah, sebanyak 15 premis diperiksa dan 1 kompaun dikeluarkan atas kesalahan di bawah Undang Undang Kecil Perlesenan, Establismen makanan (MDHS) 2007.

Selain itu operasi melibatkan aktiviti karaoke di tempat terbuka di Bandar Utama Batang Kali, Notis Am dikeluarkan di bawah Seksyen 82 Akta Kerajaan Tempatan (Akta 171).

Notis turut dikeluarkan kepada pemilik kereta buruk yang diletakkan di tempat awam bagi kesalahan di bawah seksyen 46 (1) (e) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 (Akta133)

Sehubungan dengan itu MDHS akan memastikan aktiviti penguatkuasaan terus berjalan.

Penduduk yang mempunyai permasalahan dan pengaduan sila hubungi unit aduan di talian 03-6064 1655 atau layari laman web rasmi MDHS di www.mdhs.gov.my atau SMS, taip MDHS ADUAN (perkara aduan) hantar ke 15888.


JUNAINAH ABDULLAH penolong pegawai penerangan, Majlis Daerah Hulu Selangor.