Most Read
Most Commented
Read more like this
mk-logo
From Our Readers

Berikut adalah respon kepada tulisan Aswa99 bertajuk Keadilan perlu kaji hubungan dengan PAS .

Logiknya seseorang pemimpin utama di mana-mana tempat di dunia ini memang patut mewakili kumpulan majoriti di tempat masing-masing.

Oleh itu, mencalonkan pemimpin Tionghua bertanding di kawasan majoriti masyarakat Tionghua dalam pilihanraya umum kali ini cumalah satu tindakan rasional, bukan sahaja oleh Parti Keadilan Rakyat, malah mana-mana parti politik sekalipun.

Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) sebenarnya memang telah menjalankan tugasnya dengan berkesan sekali iaitu memastikan kemenangan yang besar bagi Barisan Nasional (BN).

Bagaimana sesuatu analisa yang berkredibiliti mampu dibuat jika terdapat begitu banyak sekali sampel-sampel kajian yang dipertikaikan kesahihannya.

Tekanan jentera-jentera Umno khasnya melalui media arus perdana yang di bawah pengaruh kuasa BN yang suka membuli rakyat khasnya pihak pembangkang memang menyulitkan usaha Keadilan memecahkan mitos politik perkauman yang telah lama sebati dalam arena politik tanahair.

Kenyataan ini terbukti apabila ramai rakyat meragui integriti parti ini akibat terpengaruh dengan dakyah BN. Mata hati mereka ini telah dibiru-pekatkan hingga mereka hanya melihat Keadilan terlalu asyik dengan "Politik ke-Hijauan" yang kononnya diciptakan PAS dalam BA (Barisan Alternatif).

Tidak hairanlah terdapat juga ahli-ahli keadilan yang tidak kuat pegangannya kelihatan tergolek-golek jatuh kembali ke lubuk biru pekat kehitaman ciptaan Umno.

Walaupun, seperti yang diperkatakan di atas tadi, bahawa SPR telah memastikan kemenangan besar BN, tetapi bagi sesetengah orang, alasan itu tidak penting sedikit pun. Apa yang lebih mustahak ialah Keadilan masih perlu mengetahui mengapa mereka kecundang begitu teruk sekali!

Soalan pokoknya ialah sekiranya pilihanraya kali ini diadakan dengan adil dan saksama (sekurang-kurangnya kekeliruan pada hari mengundi tidak berlaku), mampukah Keadilan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dalam pilihanraya umum ke-11 itu?

Jawapan saya ialah jumlah undian untuk Keadilan pastinya bertambah. Secara logiknya bukan sahaja kerusi Parlimen malahan kerusi negeri untuk Keadilan juga mampu bertambah.

Saya sangat setuju jika dikatakan faktor 'Pak Lah' merupakan salah-satu cabaran getir yang perlu dihadapi oleh semua parti pembangkang dalam pilihanraya ke-11 ini. Pun begitu 'Gelombang Biru' (sebenarnya biru pekat) menurut definisi saya adalah faktor besar yang turut merangkumi faktor 'Pak Lah'.

Jika Pak Lah dikaitkan dengan tender makanan Kementerian Pertahanan, MAS Catering dan Scomi, ia akan menjadi faktor negatif. Akan tetapi 'gelombang biru pekatlah' yang berjaya menampan faktor negatif ini sekaligus menukarkannya menjadi positif untuk BN.

'Gelombang biru pekat' itu jugalah menyebabkan pengundi kelas pertengahan bimbang dengan dasar PAS yang kononnya ekstrem. (Saya mengelak komen dasar PAS bercorak fundamentalis kerana pernah terdengar Mahathir Mohamad mengatakan dirinya mengamalkan Islam fundamentalis).

Gelombang tersebutlah yang berjaya menelan beberapa pemimpin kanan Keadilan kebelakangan ini dan dikatakan menjejaskan moral dan semangat perjuangan parti itu. Malahan bagi saya, gelombang yang samalah menyebabkan perkara-perkara di atas menjadi faktor-faktor negatif kepada Keadilan.

Secara peribadi saya agak keberatan melabel sesebuah pertubuhan itu membawa ideologi kiri atau kanan kerana ia bersifat subjektif secara relatifnya. Apatah lagi mengaitkan warna merah dengan fahaman kiri. Bukankah Umno juga biasa dikaitkan dengan warna merah? Saya juga keliru apakah relevannya ungkapan 'Hijau ditanggalkan, Merah dipadukan, Biru diperangi'.

Parti manakah yang telah menarik diri selepas penamaan calonnya untuk mengelakkan pertandingan tiga penjuru dengan Keadilan dan BN? Parti mana pula yang telah mengkhianati persetujuan pada saat-saat akhir hingga menyebabkan berlakunya pertandingan tiga penjuru? Dengan siapakah Keadilan harus bergabung?

Keadilan tidak menyokong atau menentang dasar Negara Islam PAS secara terbuka. Manifesto bersama BA (PAS dan Keadilan) Selangor misalnya menghormati kepelbagaian kaum dan agama di negeri tersebut dan tidak timbul isu menjadikan Selangor Negeri Islam.

Menyentuh tentang isu Islam, walaupun terdapat perbezaan di sana sini, hakikatnya majoriti rakyat Malaysia adalah beragama Islam. Majoriti adalah penting dalam politik demokrasi. Kenyataan ini mestilah diakui, lalu ditangani dengan berhati-hati.

Itulah rasional pendirian Keadilan yang bertindak secara praktikal terhadap persekitarannya. Begitu juga pendirian Keadilan terhadap konsep Malaysian Malaysia DAP.

Sasaran Keadilan ialah menentang kezaliman BN -sesuatu yang dikongsi bersama dengan Parti pembangkang lain. Persamaan inilah yang sepatutnya ditekankan supaya pihak pembangkang dapat bersatupadu seterusnya menumbangkan BN.

Dalam pilihanraya ke-11 yang lalu, Keadilan mengumumkan bahawa mereka menawarkan pilihan ketiga kepada pengundi. Bersikap adillah apabila membicarakan tentang prestasi Keadilan pada pilihanraya kali ini berbanding dengan pembangkang lain. Ini hanyalah kali kedua ia bertanding.

Ketika pertama kali bertanding dulu, semasa kehangatan gelombang reformasipun, ia hanya mendapat beberapa buah kerusi sahaja. Akhir sekali, mengikut sistem warna RGB, warna biru muda Parti Keadilan itu terhasil bila komponen biru dan hijau digabungkan!

ADS