Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Ikatan Jawa Sejiwa Selangor (iJawa) merafak sembah Ke Bawah DYMM Tuanku Sultan Sharaffudin Idris Shah Sultan Selangor Darul Ehsan.

Kami rakyat Tuanku cukup yakin dengan corak pemerintahan DYMM Tuanku yang bijaksana lagi adil yang sangat mementingkan kesejahteraan serta keharmonian rakyat.

Kami mohon perkenan DYMM Tuanku agar Tuanku Sultan dapat menyelesaikan konflik pelantikan menteri besar yang baharu mengikut lunas-lunas perundangan yang tepat sebagaimana amalan berdasarkan prinsip demokrasi berparlimen raja berperlembagaan. 

iJawa merupakan badan NGO yang terlibat dalam membuat program kajian berkaitan budaya dan sosiobudaya kaum etnik terutamanya etnik Jawa.

iJawa yang semua anggotanya orang Jawa Selangor sangat cintakan negeri Selangor, setiap hari berdoa ke hadrat Allah SWT agar Selangor terus makmur dan membangun.

Kami menjunjung setia konsep raja berperlembagaan dalam sistem demokrasi di Malaysia seperti yang termaktub dalam perlembagaan negara dan Undang-Undang Tubuh Negeri Selangor.

Konsep konvensional dalam amalan demokrasi dalam membentuk sesebuah kerajaan harus dipatuhi, bahawa mana-mana ahli dewan negeri yang mendapat sokongan majoriti dari ahli-ahli dewan negeri hendaklah dilantik sebagai menteri besar dan mendapat perkenan dari tuanku Sultan.

Proses seumpama inilah telah berjalan dengan sempurna sejak bermulanya pilihan raya umum hingga yang terbaru proses pertukaran menteri besar negeri Terengganu Darul Iman.

Pada pandangan iJawa, merujuk kepada Undang-undang Tubuh Negeri Selangor berkaitan syarat dan kelayakan seseorang untuk dilantik menjadi menteri besar. 

  1. Fasal 53(2): Seorang ahli dewan negeri.
  2. Fasal 51(2): Bangsa Melayu.
  3. Fasal 51(2): Menganut agama Islam.
  4. Fasal 53(2)(a): Ahli dewan negeri yang mendapat sokongan majoriti ahli dewan negeri.
Berdasarkan kepada syarat serta kelayakan yang dinyatakan dalam Undang-undang Tubuh Negeri Selangor maka kami tanpa sebarang keraguan menyatakan bahawa Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail adalah calon menteri besar Selangor yang baharu kerana kelayakan yang jitu lagi padu, di mana beliau mencukupi segala syarat serta kelayakan;

  1. Ahli dewan negeri Selangor kawasan Kajang.
  2. Seorang yang berbangsa Melayu.
  3. Seorang Islam yang mengamalkan ajaran Islam dengan baik.
  4. Sah mendapat sokongan majoriti 30 ADUN Selangor melalui akaun bersumpah.
Kami iJawa cukup yakin pelantikan Wan Azizah, seorang pemimpin rakyat yang telah mengharungi pelbagai rintangan serta jerih perih penderitaan demi perjuangan rakyat, akan menjadi Dato’ Menteri Besar Selangor.

Pengalaman yang beliau ada pastinya akan digunakan bagi memberikan tumpuan kepada pembangunan kediaman mampu milik rakyat, menggalakkan pelaburan luar negara untuk pembangunan, peluang pekerjaan dan kerjaya bagi anak Selangor.

Selangor akan menjadi sebuah negeri yang bersih, maju dan berkebajikan.

Maka dengan penuh hormat dan takzimnya iJawa akan akur siapa sahaja yang diperkenan oleh DYMM Sultan Selangor untuk dilantik sebagai menteri besar yang baharu asalkan ahli dewan negeri itu mempunyai majoriti sokongan ahli dewan negeri Selangor secara sah.

Moga Allah SWT akan memberkati dan merahmati kita semua.


JAMALI SALAMON setiausaha agung Ikatan Jawa Sejiwa Selangor (iJawa).

Lihat Komen
ADS