Azmin perlu buktikan lebih baik dari Khalid
IKRAM Siswa mewakili sebahagian daripada golongan mahasiswa yang mempunyai lima cawangan di negeri Selangor mengucapkan syabas dan tahniah kepada Mohamed Azmin Ali yang mengangkat sumpah sebagai menteri besar yang baru pada pagi ini.
IKRAM Siswa seterusnya ingin menegaskan bahawa seluruh tumpuan kini terarah kepada Azmin.
Seharusnya, beliau mampu membuktikan kepada rakyat Selangor bahawa pentadbiran beliau adalah lebih baik dan cemerlang daripada pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim (TSKI) sebelum ini.
Sudah pastinya Azmin tidak mahu diturunkan pula oleh partinya nanti sebagaimana yang terjadi kepada Khalid.
Tindakan PKR kebelakangan ini yang berusaha bersungguh-sungguh untuk menurunkan Khalid dan menggantikannya dengan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menimbulkan polemik politik di negeri Selangor.
Ia bukan sahaja mengelirukan rakyat, tetapi juga telah mengelirukan rakan seangkatan PKR dalam Pakatan Rakyat iaitu PAS.
Dengan pelantikan Azmin Ali yang juga timbalan presiden PKR, IKRAM Siswa berharap konflik politik dalam Pakatan, khususnya antara PKR dan PAS, dapat ditamatkan segera dan tidak terus menjadi bebanan kepada rakyat.
Pakatan harus mula kembali fokus kepada memimpin Selangor ke arah lebih baik, bukannya berkelahi sesama sendiri.
Azmin perlu sedar bahawa beliau kini bukan hanya timbalan presiden PKR, tetapi figura nombor satu yang menerajui kepimpinan negeri Selangor.
IKRAM Siswa juga menyeru Azmin dan pasukan barunya menjalankan tugasan mentadbir Selangor dengan amanah, bertanggungjawab serta takut akan tuhan.
Ia bagi meyakinkan semula rakyat Selangor khususnya mahasiswa kepada pentadbiran Pakatan.
MUHAMMAD MUS'AB MUZAHAR timbalan presiden IKRAM Siswa merangkap pengerusi jawatankuasa politik IKRAM Siswa Nasional.

