Kaji punca kekalahan PAS di Pgkl Kubor
Jabatan Pilihanraya Pemuda PAS Perak merakamkan jutaan tahniah kepada seluruh jentera yang bertungkus lumus berusaha merebut kerusi Dun Pengkalan Kubor dalam pilihanraya kecil tempoh hari.
Khasnya kepada jentera daripada negeri Perak dari semua kawasan yang telah turun secara berperingkat mengikut jadual yang telah diberikan.
Walaupun tidak memperoleh kemenangan, namun ia permulaan baik bagi PAS untuk mengorak langkah dan memandang ke hadapan terhadap masa depan PAS di Pengkalan Kubor.
Walaupun kita dibahangi dengan suasana muktamar namun jentera PAS tidak dilihat pincang apabila seluruh tenaga di semua peringkat sama ada Ulama, Pemuda, Muslimat termasuklah dewan himpunan turun membantu kempen.
Mereka mengerah seluruh jentera dari seluruh negara menggerakkan gerak kerja pilihan raya sejak awal lagi hingga ke hari pembuangan undi.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah memilih tarikh yang tidak sesuai atau sengaja apabila dalam masa yang sama muktamar PAS sedang bersidang yang melibatkan semua jentera diseluruh negara.
Namun begitu, kami menggesa PAS membuat 'post-moterm' bagi menilai keputusan yang telah diperoleh seterus melihat, menilai serta mengenalpasti kekurangan yang ada.
PAS perlu kenalpasti punca kenapa majoriti yang diperoleh oleh BN meningkat sedangkan kali ini PAS yang bertanding oleh kerana sebelum ini 'alasan' kekalahan yang kedengaran adalah kerusi tersebut ditandingi oleh PKR.
PAS juga perlu memastikan apakah strategi yang diguna pakai dalam pilihanraya tersebut berkesan disamping menilai apa yang dilakukan oleh BN untuk kita aplikasikan serta tambah baik selepas ini.
Kami yakin, Jabatan Pilihanraya PAS Pusat mengambil serius dengan keputusan yang ada bagi menilai prestasi jentera parti serta penerimaan rakyat terhadap gerak kerja yang jentera lakukan.
MOHD FAKHRULRAZI MOHD MOKHTAR Pengarah Jabatan Pilihan Raya Pemuda PAS Perak.

