Berapa ramai ikhtiraf pilihanraya lalu?
Bantahan yang dikemukakan oleh Barisan Alternatif (BA) berkaitan pilihanraya lalu adalah jelas. Mereka menentang penyelewengan yang kebarangkalian berlakunya adalah besar, berasaskan kepada bukti-bukti dan reaksi balas oleh ramai pengundi sendiri.
Sekurang-kurangnya, BA cuba berjuang untuk sebahagian daripada pengundi sah yang dinafikan hak dan kerahsiaan mereka oleh perjalanan pilihanraya yang sangat berkusut. Maka mereka meneruskan usaha membuktikan segala dakwaan yang telah dikemukakan.
Malangnya, pihak media perdana langsung tidak mengambil 'pusing' perkara ini. Sekadar membuat laporan kecil terhadap bantahan yang dibuat, ibarat melepaskan batuk di bucu tangga, tanpa liputan yang sepatutnya.
Tetapi realiti sebegini bukanlah perkara baru. Malah lebih terkehadapan lagi, mereka menggambarkan bantahan ini seolah-olah dilakukan oleh pemimpin tertentu sahaja.
Ini adalah penerusan agenda mereka untuk memburukkan imej pemimpin PAS khususnya, setelah ia berjaya dilakukan ketika hampir berlangsungnya pilihanraya lalu. Untuk matlamat itu, mereka tidak banyak memfokuskan kepada badan bertindak yang dibentuk, tetapi menyiarkan laporan bantahan yang seolah-olah hanya datang daripada presiden PAS.
Kononnya, pemimpin PAS Abdul Hadi Awang tidak menghormati pilihan rakyat, menolak takdir, tidak mengaku kekalahan parti, dan pelbagai lagi. Tidak sekadar itu, mereka cuba mendapatkan pandangan ahli akademik dalam perkara ini.
Amat malang jika ada di kalangan golongan pensyarah sendiri tidak menjadikan fakta, kajian dan penelitian yang mendalam sebagai bahan untuk dijadikan rujukan ketika memberi pandangan atau ulasan.
Apakah mereka 'buta' dengan pelbagai kekusutan yang berlaku? Atau mereka juga ibarat 'terompah' yang dipergunakan?
Saya ingin tegaskan, bantahan bukannya datang dari Abdul Hadi sahaja, atau Dr Hasan Ali semata-mata, atau hanya pendapat Dr Wan Azizah Wan Ismail serta Azmin Ali, tetapi
sebahagian besar rakyat Malaysia yang celik dan sedar kebobrokan BN dan SPR, berdiri teguh di belakang dan hadapan pimimpin BA.
Kalau anda berani, wahai para pengamal media perdana, cuba lakukan tinjauan pendapat secara adil, berapa ramaikah rakyat Malaysia yang tidak mengikhtiraf pilihanraya lalu dan telah tidak mempercayai lagi ketelusan demokrasi di Malaysia ini.

