Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Mahasiswa Keadilan Malaysia berasa amat dukacita apabila pihak pentadbiran Universiti Malaya (UM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) masih menyekat ideologi mahasiswa.

Universiti ini bertegas untuk menggunakan Akta Universiti Kolej Universiti 1971 (AUKU 1971) sebagai perisai mereka.

Di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) pula, mereka menggunakan cara yang lain iaitu Peraturan Disiplin Pelajar 2004 kerana AUKU 1971 tidak terpakai di UIAM menurut seksyen 5A(1) AUKU 1971.

Keadaan ini membuktikan bahawa kebebasan berfikir mahasiswa kian terhakis.

Kint boleh melihat bahawa perisai yang digubal oleh Tun Mahathir Mohammad iaitu AUKU 1971 pada masa lalu menjadikan pelajar semakin terhalang dalam mencakna minda dan idealisme.

Pihak pentadbiran universiti pula memilih bulu kerana tidak memberikan peluang kepada para pelajar untuk membawa ahli politik daripada pimpinan pihak pembangkang mahupun para akademik yang bertauliah.

Ini jelas sekali menghina intelek mahasiswa.

Saban hari dan saban tahun, rejim ini semakin mengongkong mahasiswa yang inginkan kebebasan dalam berfikir, bersuara mahupun berpersatuan.

Kebebasan berfikir, bersuara dan berpersatuan sememangnya sudah termaktub di dalam undang-undang tertinggi di Malaysia ini - dalam Perkara 10 Perlembangaan Persekutuan.

Namun begitu, harus diingat ada sekatan di sebalik kebebasan ini iaitu kuasa Parlimen untuk menggubal akta merujuk kepada Perkara 10(2),(3) dan (4).

Maka, wujudlah AUKU 1971 yang diperkenankan oleh Yang Dipertuan Agong pada 29 April 1971 kerana peningkatan kesedaran berpolitik pada waktu itu membimbangkan kerajaan.

Kalangan mahasiswa juga sedar bahawa tindakan membawa AUKU 1971 ini memberikan impak yang negatif kepada mereka.

Rata-ratanya, mahasiswa berasa terhimpit dan semakin muak dengan politik diktator dan kotor oleh rejim yang semakin angkuh ini.

Kesedaran ini mula dirasai melalui tindakan saudara Fahmi Zainol selaku Presiden Mahasiswa Universiti Malaya.

Sokongan dari majoriti mahasiswa di Universiti Malaya mencerminkan bahawa golongan ini menginginkan politik yang berbeza pendapat.

Kesedaran ini menyebabkan mahasiswa mulai muncul semula untuk bersuara sehinggakan pelbagai jenis persatuan bangkit di universiti.

Di Universiti Kebangsaan Malaysia, sepuluh orang mahasiswa yang rata-ratanya daripada pimpinan Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia diberikan surat pertuduhan kerana menganjurkan ‘Demo Air’.

Ini merupakan pertuduhan yang tidak masuk akal kerana hak untuk bersuara dan berhimpun demi memperjuangkan hak asas mahasiswa semakin terhakis dan pertuduhan yang diberikan terhadap mereka adalah berlandaskan AUKU 1971.

Manakala di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, tiga mahasiswa UIAM telah dihadapkan ke mahkamah universiti untuk dibacakan pertuduhan.

Mereka didakwa mengikut peruntukan 9(3) dalam Peraturan Disiplin Pelajar 2004 atas tuduhan menyertai satu perhimpunan yang tidak mendapat kebenaran universiti.

Kes ini melibatkan program ‘Pidato Umum- Jelajah Mahasiswa Bebaskan Universiti, Kerajaan Mahasiswa’ yang diadakan di luar kawasan universiti pada 7 November 2004.

Ini menunjukkan, mahasiswa seolah-olah dikunci mulut daripada terus bersuara. Pertuduhan yang dihadapkan terhadap mereka semata-mata atas tujuan melemahkan gerakan dan idealisme mahasiswa.

Di dalam buku Mahasiswa Menggugat karya Mohamad Abu Bakar, sejarah membuktikan bahawa mahasiswa UITM (dulu ITM) antara juara utama suara mahasiswa dalam gerakan mahasiswa.

Mereka berani bangkit menggugat pemerintahan yang melanggari hak bersuara dan hak berhimpun. Bahkan, UITM berjaya melahirkan pemimpin seperti Datuk Ibrahim Ali, Mohamad Sabu dan Khalid Jaafar.

Tidak dilupakan peristiwa 20 Mac 1975 di mana Tun Mahathir Mohammad telah disorak oleh mahasiswa ITM dalam forum yang bertajuk “Sistem Pelajaran dan Peranan Membentuk Sebuah Masyarakat Progresif”. Antara panel yang lain ialah Prof Syed Naquib Al-Attas dan Hussein Abdul Rahman.

Menurut Mohamad Abu Bakar lagi di dalam buku 'Mahasiswa Menggugat', falsafah perjuangan mahasiswa adalah manifestasi dari status mereka sebagai pelajar universiti, fungsi mereka sebagai rakyat yang sudah dewasa dan situasi mereka sebagai kumpulan individu yang seringkali terdedah kepada dunia semasa.

Elemen ini memberi kesan kepada kehidupan mereka di dalam masyarakat khususnya di kampus. Oleh itu, pengaruh kemanusiaan ini mewujudkan aspirasi mahasiswa bagi menegakkan gagasan keadilan, kebenaran dan kebebasan.

Keterlibatan pelajar dalam masyarakat memperluaskan objektif sosial pelajar agar tidak terkongkong dalam bidang akademik semata-mata.

Bakat kepimpinan yang dimiliki oleh Syed Hamid Ali dan Anwar Ibrahim membolehkan pelajar menjadi jurubicara masyarakat agar suara rakyat didengari oleh penguasa politik.

Mahmud Mohd YDP PKPIM 1976/77, pernah menyatakan: “Akta boleh memisahkan persatuan-persatuan peringkat kampus dari pendaftaran tetapi akta tidak dapat memisahkan persatuan-persatuan tersebut dari segi realiti kerana kekuatan ideologi Islam yang sama-sama didokong tidak membenarkan pemisahan”

AUKU 1971 yang sering kali dijadikan perisai oleh pentadbiran universiti mahupun pihak kerajaan sememangnya mempunyai kesan yang buruk dan baiknya. Pada zaman dahulu, AUKU dilihat cuba untuk menahan pergerakan yang subversif dan militan mahasiswa.

Tetapi, zaman ini rata-rata mahasiswa sudah mulai celik minda dalam arus pemodenan sehinggakan menimbulkan rasa ingin berkhidmat bersama masyarakat dalam memerangi rasuah, penyelewengan dan korupsi yang kian menjadi-jadi.

Sekiranya AUKU 1971 ini dicipta untuk menahan pelajar daripada berfikir, maka pujian harus diberikan kepada pihak kerajaan kerana mereka berjaya mencipta mahasiswa untuk berfikiran secara robot berbanding dengan mahasiswa yang inginkan penilaian daripada pelbagai sudut dan persepsi.


SYAFIQ FARHAN KAMEL timbalan presiden Mahasiswa Keadilan Malaysia .

Lihat Komen
ADS