Nenek lumpuh hidup sebatang kara
Dalam keriuhan dan kemeriahan umat Islam bersiap sedia untuk menyambut ketibaan bulan Ramadhan yang mulia, seorang nenek tua yang tinggal berseorangan di Kampung Satap, Miri hanya mampu pasrah dan redha dengan ketentuan Ilahi.
Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul, begitulah nasib yang terpaksa dilalui oleh nenek tua ini yang sekian lama tinggal keseorangan.
Atiah Duhak, 80, hidup sebatang kara di rumah yang usang dan uzur itu. Beliau tidak pernah berkahwin dan mempunyai keluarga atau saudara mara yang terdekat.
Beliau dilahirkan dalam keadaan cacat kaki dan tidak dapat bergerak seperti manusia normal yang lain. Setiap hari beliau hanya dapat menguruskan dirinya secara perlahan-lahan tanpa bantuan sesiapa.
Semasa muda, nenek Atiah melakukan pelbagai pekerjaan seperti berkebun dan menoreh getah untuk menyara kehidupan hariannya.
Namun pergerakannya kini terbatas dan beliau tidak larat lagi untuk bekerja. Nenek Atiah berkata beliau tidak suka merayu simpati orang lain sebaliknya cuba sedaya upaya menguruskan hidup secara bersendirian.
Walau bagaimanapun, beliau bersyukur kerana terdapat jiran-jiran sekeliling yang prihatin dan kerap memberikan pertolongan kepadanya termasuk memberi makanan dan keperluan harian yang lain.
Menurutnya, pihak kerajaan pernah datang menziarahi beliau dan berjanji untuk memberikan bantuan membina rumah kepadanya, namun sehingga kini beliau masih belum menerima apa-apa bentuk bantuan.
Tambahnya, walaupun keadaan dirinya dikategorikan sebagai Orang Kurang Upaya (OKU), beliau tidak pernah mendapat bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sejak dahulu lagi.
PAS Miri bagaimanapun komited untuk membantu insan kurang berkemampuan dan yang terpinggir seperti kes nenek Atiah.
Ini selari dengan slogan PAS yang ingin menjadikan Negara Malaysia sebuah ‘Negara berkebajikan’.
PAS Miri berharap, pihak berwajib akan melakukan siri ziarah berkala bagi mengenalpasti golongan sasaran yang memerlukan bantuan agar semua rakyat di Sarawak khususnya di Miri dapat merasai kehidupan yang lebih baik sepertimana yang diperolehi oleh rakyat yang lain.
PAS Miri akan cuba menghubungi Baitulmal Miri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dalam masa terdekat untuk membolehkan nenek Atiah mendapat bantuan.
Pihak yang ingin menghulurkan bantuan kepada nenek Atiah boleh menghubungi PAS Miri di talian 085-412106.
WANMAN aktivis Muslimat PAS Miri.

