Tanah anda ada mineral bauksit?
Aktiviti perlombongan bauksit di beberapa kawasan dalam daerah Kuantan, Pahang kini menjadi bualan hangat masyarakat setempat.
Kewujudan bahan mineral tersebut di dalam tanah milik individu menarik minat banyak pihak untuk mengusahakan perlombongan bahan mineral tersebut secara usahasama dengan pemilik tanah berkenaan.
Di pihak tuan tanah pula, ia merupakan satu rezeki terpijak yang tidak disangka-sangka. Justeru, tidak hairanlah ramai yang memasang angan-angan untuk menjadi orang kaya baru hasil daripada kewujudan bahan mineral tersebut dalam tanah milik mereka.
Walaupun ia mungkin menjadi peluang rezeki kepada tuan tanah, sekiranya tuan tanah tidak berhati-hati atau mengambil mudah dengan transasksi usahasama yang dimasuki dengan syarikat pengusaha, dibimbangi ia bukan sahaja boleh menyebabkan kerugian kepada pihak tuan tanah, bahkan akan menyebabkan susut nilai kepada tanah mereka pada masa akan datang.
Sebagai panduan kepada tuan tanah, saya nyatakan disini beberapa perkara yang perlu diambil perhatian oleh mereka untuk mengelakkan daripada berhadapan dengan risiko kerugian tersebut.
1. Sekiranya terdapat mana-mana syarikat yang berminat menawarkan untuk mengusahakan perlombongan bahan mineral tersebut di atas tanah mereka, sila pastikan bahawa syarikat tersebut adalah syarikat yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).
Bukan sekadar berdaftar, mereka juga hendaklah memastikan bahawa syarikat tersebut didaftarkan sebagai syarikat yang mengusahakan urusan perlombongan dan mempunyai pengalaman luas dalam urusan perlombongan mineral. Untuk mengesahkan segala maklumat tersebut, tuan tanah hendaklah melakukan carian syarikat di SSM.
2. Pastikan juga syarikat pengusaha tersebut mempunyai lesen atau permit yang sah untuk mengendalikan urusan perlombongan dan mematuhi prosedur perlombongan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa.
Untuk mengesahkan maklumat berkenaan pemegang lesen atau permit perlombongan dan mengetahui prosedur sebenar perlombongan sesuatu bahan mineral, ada baiknya juga tuan tanah merujuk kepada Pejabat Tanah dan Galian Negeri. Ini kerana Pejabat Tanah dan Galian Negeri mempunyai rekod berkenaan dengan pengeluaran lesen dan permit perlombongan bahan mineral tersebut.
3. Jangan terus bersetuju dengan tawaran yang di tawarkan oleh pihak pengusaha. Sebaiknya, lantiklah peguam hartanah yang berpengalaman untuk mewakili anda sejak daripada awal lagi perbincangan dilakukan. Segala perbincangan berkenaan dengan terma usahasama hendaklah diuruskan dan dilakukan melalui peguam yang dilantik.
Pastikan segala urusan dokumentasi hendaklah menggunapakai perjanjian usahasama perlombongan bahan mineral sahaja dan bukannya perjanjian usahasama untuk memajukan tanah sebagai projek perumahan.
4. Pastikan segala terma usahasama juga menguntungkan atau sekurang-kurangnya tidak merugikan tuan tanah, sama ada dari segi bayaran keuntungan tuan tanah (tribute) terhadap hasil pengeluaran bahan mineral, atau dari segi kesan terhadap penggunaan dan nilaian tanah milik tuan tanah pada masa akan datang.
Oleh yang demikian, tuan tanah hendaklah memikirkan terma yang terbaik untuk diri mereka dan seterusnya mengikat pihak pengusaha untuk bertanggungjawab terhadap semua perkara berkaitan dengan transaksi tersebut sama ada pada masa sebelum perjanjian usahasama ditandatangani atau pada masa urusan perlombongan di jalankan atau sesudah urusan perlombongan disempurnakan.
5. Deposit usahasama untuk transaksi tersebut hendaklah berpadanan dengan anggaran bahagian keuntungan yang bakal diperolehi oleh tuan tanah iaitu sekurang-kurangnya 10% daripada bahagian keuntungan tuan tanah.
Deposit tersebut adalah dianggap sebagai deposit sekuriti dimana ianya akan dilupuskan oleh tuan tanah sekiranya pengusaha gagal melaksanakan mana-mana tanggungjawab mereka atau gagal mematuhi mana-mana terma atau syarat yang dinyatakan dalam perjanjian kelak.
Deposit tersebut hendaklah dibayar oleh pengusaha kepada tuan tanah melalui peguam tuan tanah pada masa menandatangani perjanjian usahasama. Tuan tanah dinasihatkan agar tidak menerima apa-apa bayaran secara persendirian daripada pengusaha, sebaliknya segala bayaran hendaklah dibuat melalui peguam tuan tanah yang telah dilantik.
6. Transaksi usahasama tersebut juga mestilah mempunyai tempoh masa penyempurnaan atau “completion date”, misalnya 1 tahun daripada tarikh perjanjian. Ianya tidak boleh bersifat tidak berpenghujung atau atas budi bicara syarikat pengusaha semata-mata.
Sekiranya tempoh tersebut telah tamat, maka segala usaha perlombongan hendaklah dihentikan dengan serta merta dan pengusaha hendaklah meyerahkan kembali milikan kosong tanah tersebut kepada tuan tanah dan memulihkan semula keadaan permukaan tanah yang telah dilombong agar ianya tidak menyebabkan susut nilai terhadap tanah tersebut.
7. Tuan tanah hendaklah melantik wakil-wakil mereka untuk berada di tapak perlombongan di mana kerja-kerja perlombongan dijalankan.
Ini bertujuan untuk menyelia segala urusan perlombongan yang dilakukan oleh pengusaha dan seterusnya untuk memastikan bahawa jumlah sebenar hasil perlombongan yang dikeluarkan dari tapak perlombongan adalah sama dengan jumlah pengeluaran yang dimaklumkan oleh pengusaha kepada tuan tanah.
Ini untuk mengelakkan sebarang unsur penipuan atau ketidak telusan oleh mana-mana pihak terhadap hasil perlombongan bahan mineral tersebut.
8. Tuan tanah tidak perlu menyerahkan geran asal tanah tersebut kepada pengusaha walaupun diminta oleh pengusaha untuk berbuat demikian. Ini kerana, urusan ini tidak akan melibatkan sebarang pendaftaran pindahmilik dan sebagainya di pejabat tanah yang memerlukan geran asal tanah diserahkan kepada pengusaha.
Bukan itu sahaja, pengusaha juga tidak berhak untuk memasukkan kaveat persendirian ke atas tanah tersebut memandangkan hak untuk melombong bahan mineral di bawah tanah milik tuan tanah yang berkenaan tidak memberi kepentingan mengkaveat (caveatable interest) kepada pengusaha untuk berbuat demikian.
Secara kesimpulannya, langkah berhati-hati dan tidak terlalu terburu-buru untuk mengejar keuntungan masa singkat hasil daripada bahan mineral tersebut, mampu menyelamatkan tuan tanah daripada menjadi mangsa pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan seterusnya menjamin tuan tanah memperolehi keuntungan yang sepatutnya.
SALKUKHAIRI ABD SUKOR presiden Persatuan Guaman Hartanah Malaysia (HartaGuam)

