Hari Alam Sekitar Sedunia disambut setiap 5 Jun. Tema tahun ini mengutarakan kerisauan masyarakat global secara tepat, 'Tujuh Bilion Impian. Satu Planet. Guna Secara Bertanggungjawab.

Berdasarkan statistik terkini (2013), Malaysia mempunyai 488 loji rawatan air dengan kapasiti reka bentuk 18,421 juta liter sehari (JLH) dan pengeluaran air terawat sebanyak 15,536 JLH. Pada tahun 1983, Malaysia mempunyai hampir 32,693 km paip untuk membekalkan air bersih.

Pada tahun 2013, hampir 138, 669 km paip disediakan untuk membekalkan air kepada semua kategori pengguna. Pada tahun 2013, 61.5 peratus daripada jumlah air terawat telah digunakan oleh pengguna domestik.

Secara umum, jumlah penggunaan air dibahagikan kepada sektor domestik, industri (termasuk komersil) dan pertanian yang masing-masing menggunakan 17 peratus, 21 peratus dan 62 peratus.

Walau bagaimanapun, hampir dua pertiga daripada air terawat digunakan oleh sektor domestik. Ini adalah kerana banyak industri dan aktiviti pertanian mengambil air terus dari alam sekitar untuk kegunaan mereka.

Pembangunan dan perubahan dalam guna tanah menyebabkan air mentah sukar diperolehi. Atas alasan pembangunan, kita mencemarkan air yang kita gunakan dan proses untuk menyediakan air terawat menjadi lebih mahal. Pembangunan tertumpu (dengan kepadatan penduduk yang tinggi) membuat ia lebih sukar untuk memenuhi permintaan air terawat yang semakin meningkat.

Dasar-dasar kita telah membutakan diri kepada penggunaan air yang tinggi (air mentah) di sektor industri dan pertanian. Air sisa daripada sektor-sektor ini semakin meningkat seiring dengan kadar pertumbuhan.

Dalam lima tahun yang akan datang, kita bercita-cita untuk menjadi sebuah negara maju. Adakah kita mempunyai anjakan paradigma untuk menguruskan sumber air kita?

Rancangan Malaysia Ke-11 telah mengenal pasti tarif sebagai salah satu mekanisme dalam pengurusan permintaan air untuk menggalakkan kecekapan air. Adakah ia boleh laksana (feasible)? Jawapannya, tidak.

Satu-satunya cara untuk menjadi cekap air adalah untuk memastikan rakyat menghargai kepentingan air dan meningkatkan kadar tarif tidak akan dapat membantu mencapai matlamat ini. Rakyat akan terus dengan tabiat penggunaan air mereka dan membayar bil jika mereka tidak memahami kepentingan air.

Tambahan pula, semakan tarif sepatutnya membantu syarikat air mendapat pulangan bagi perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi serta keuntungan yang dikawal selia.

Mengapakah pengguna perlu membayar tarif yang lebih tinggi apabila perbelanjaan modal, perbelanjaan operasi serta keuntungan yang dikawal selia telahpun ditebus melalui tarif?

Sekiranya kita dapat mencapai tarif berpatutan di mana rakyat juga adalah cekap air, Malaysia akan menjadi contoh terkemuka di dunia. Inilah pencapaian sebenar yang membanggakan.

Sebagai permulaannya, AWER telah membangunkan aplikasi untuk membantu pengguna domestik menjadi cekap air melalui alat pengiraan dinamakan Tangkap si Hydro . Aplikasi ini boleh digunakan oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

Tangkap si Hydro dibahagikan kepada dua aktiviti utama. Pilihan pertama adalah menggunakan data preset bagi mereka yang kurang pasti dengan peralatan yang diguna di rumah. Pilihan kedua adalah mengukur sendiri di mana kaedah ini meningkatkan ketepatan data yang dikumpul.

Keputusan akan dihasilkan daripada data yang diberikan dan akan menunjukkan kadar penggunaan air bagi pelbagai aktiviti di rumah dan perbandingan keputusan. Tambahan pula, petua yang akan diberikan adalah berdasarkan aktiviti yang membazirkan air. Ini akan membantu pengguna menyelesaikan masalah utama yang menghalang mereka daripada menjadi cekap air.

Kecekapan guna tenaga

Penggunaan Bekalan Tenaga Primer per kapita (Primary Energy Supply per Capita) (toe/kapita) Malaysia telah meningkat daripada 0.79 toe/kapita pada tahun 1980 kepada 3.03 toe/kapita pada tahun 2013.

Sektor pengangkutan mempunyai Permintaan Tenaga Akhir (Final Energy Demand) tertinggi pada 2013 iaitu 22,357 ktoe atau 43.34 peratus daripada jumlah Permintaan Tenaga Akhir. Permintaan tenaga elektrik per kapita (kWj/orang) kita telah meningkat daripada 626 kWj pada tahun 1980 kepada 4,110 kWj pada tahun 2013.

Apabila kuasa otot digantikan dengan alat yang bergantung kepada tenaga elektrik atau lain-lain jenis sumber tenaga untuk beroperasi, kita meningkatkan permintaan tenaga kita. Percubaan untuk mencari sumber tenaga boleh diperbaharui sedang dipergiat, namun sumber ini juga wujud dengan risiko yang berkaitan dengan alam semula jadi. Risiko ini ada hadnya, garis had yang disediakan oleh hukum alam.

Satu lagi usaha untuk mencapai tahap cekap tenaga perlu dipergiat. AWER telah membangunkan alat atas talian untuk membantu semua kategori pengguna untuk mengenal pasti 'pencuri' yang banyak menggunakan tenaga elektrik di premis masing-masing.

Aplikasi dalam talian kami ini, Tangkap si Pencuri menawarkan langkah mudah bersama animasi untuk mengenal pasti peralatan yang banyak menggunakan tenaga elektrik bagi membantu pengguna mengambil langkah yang lebih cekap tenaga.

Kami juga sedang melaksanakan lebih banyak penyelidikan untuk memastikan penyelesaian yang kami sediakan sampai kepada semua kategori pengguna melalui aplikasi ini. alat atas talian.

Kita akan panik jika bekalan elektrik terputus di kawasan kediaman kita. Pernahkah kita berfikir, kehidupan dengan sumber tenaga yang terhad dalam beberapa dekad akan datang?

Sumber untuk makanan

Aktiviti pertanian banyak menyumbang kepada penggunaan air yang tidak cekap dan punca pencemaran air. Aktiviti pertanian berskala besar yang tidak terkawal menyebabkan bencana seperti banjir di Cameron Highlands dan Kelantan.

Kita memerlukan air untuk tumbuh makanan kita, manakala tenaga memainkan peranan yang penting dalam mengepam air, pemprosesan produk pertanian, meningkatkan teknik pertanian dan banyak lagi untuk meningkatkan pengeluaran pertanian.

Selain daripada itu, sisa yang dihasilkan dalam sektor ini mempunyai potensi yang tinggi untuk ditukarkan kepada sumber yang boleh diperbaharui seperti biogas dan tenaga elektrik. Di samping itu, pengurangan penggunaan air dalam sektor pertanian juga amat penting kerana ia akan meningkatkan ketersediaan air mentah untuk tujuan lain.

Dengan aplikasi teknologi dan inovasi yang betul, air dan tenaga boleh melakukan keajaiban untuk membawa makanan dengan harga yang berpatutan, segar dan berkhasiat berhampiran dengan tempat kerja dan ruang hidup anda tanpa orang tengah.

Ini bukan angan-angan. Tetapi, bolehkah kita membuat anjakan paradigma? Bolehkah pertanian tertumpu dan tanpa tanah dijalankan di pusat bandar?

Masa depan kita?

Rancangan Malaysia ke-11 mengguna pakai banyak cadangan AWER dalam bidang air dan tenaga. Pelaksanaan adalah satu lagi isu yang perlu dipantau dengan teliti. Tetapi, ini tidak mencukupi. Kita hanya mewakili hanya 0.43 peratus daripada 7 bilion penduduk bumi, dengan hanya satu planet untuk dikongsi bersama.

Bayangkan masa depan dengan hanya segelintir orang mempunyai akses kepada sumber seperti air, tenaga dan makanan. Warga yang selebihnya akan menempuh keadaan huru-hara dan berperang untuk sumber.

Manusia mungkin membunuh antara satu sama lain demi sebotol air. Ini mungkin adalah situasi ekstrem yang kita tidak mahu akui. Akan tetapi, ini adalah masa depan yang bakal berlaku jika kita tidak belajar untuk menguruskan sumber kita.

Masa depan adalah di tangan anda. Kita boleh membina masa depan yang lebih baik dan lebih lestari. Kita cuma perlu menetapkan had di antara keperluan dan ketamakan. Kita semua perlu membetulkan impian kita. Jadi, guna dengan penuh tanggungjawab kerana kita hanya mempunyai satu bumi untuk didiami dan dikongsi bersama!


S PIARAPAKARAN presiden Persatuan Penyelidikan Air dan Tenaga Malaysia (AWER).