Saya mengecam tindakan pihak Universiti Kebangsaan Malaysia(UKM) yang mendakwa sebanyak 13 orang wakil pelajar dan pimpinan gerakan mahasiswa semata-mata kerana mereka menuntut hak asasi iaitu untuk mendapatkan bekalan air.

 

Isu bekalan air di kampus UKM merupakan satu isu lama yang membelenggu mahasiswa UKM selama hampir 10 tahun.

Untuk menyuarakan masalah yang dihadapi, himpunan Mahasiswa Tuntut Air (MaTA) telah dianjurkan bagi mendesak pihak UKM untuk menemui penyelesaian dala masa terdekat.

Tetapi malangnya, ia pula dijadikan alasan oleh pihak pentadbiran untuk menuduh mahasiswa yang terlibat sebagai mencemarkan nama baik universiti.

 

Isu bekalan air merupakan isu kebajikan mahasiswa. Pihak univeristi bukan sahaja gagal menyelesaikan masalah tersebut, malah mahasiswa yang bangkit menuntut hak mereka pula dipersalahkan.

Ini jelas menunjukkan sikap angkuh dan ketidakprihatinan pihak pentadbiran terhadap keperluan dan tuntutan mahasiswa.

 

Tuduhan bahawa mahasiswa telah mencemarkan nama univeriti tidak berasas sama sekali. Pada hakikatnya, tindakan pentabdiran mencengkam suara dan menyekat kebebasan mahasiswa yang sebenarnya menjatuhkan imej universiti tempatan.

 

Majlis Perwakilan Pelajar sememangnya bertanggungjawab dan berhak untuk menyuarakan pandangan mahasiswa serta menerajui isu kebajikan mahasiswa.

Maka, AMK memberi sokongan kepada para aktivis mahasiswa UKM supaya terus teguh dengan pendirian untuk menuntut hak yang dimiliki mahasiswa.  

 


TAN KAR HING naib ketua AMK Malaysia dan ADUN Simpang Pulai.