Sejak kebelakangan ini Utusan Malaysia sering mengeluarkan tulisan berkenaan restoran mamak. Artikel yang diterbitkan sering kali mewujudkan suasana tegang dan persepsi negatif kepada pihak restoran mamak.

Ini mengundang kesan buruk kepada keseluruhan warga berbangsa India Muslim dengan tindakan kurang bijak oleh pihak Utusan.

Artikel yang diterbitkan oleh pihak Utusan Malaysia mengundang kemarahan seluruh warga India Muslim.

Berdasarkan pemerhatian kami, terdapat beberapa artikel yang dilihat sebagai satu penghinaan kepada warga India Muslim.

Seharusnya artikel yang dikeluarkan perlu menjaga sensitiviti semua kaum dan bangsa di Malaysia selaras dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa oleh perdana menteri.

Satu artikel yang disiarkan pada 18 Jun 2015 menyatakan perbezaan harga yang berlaku di tiga restoran mamak di Damansara, Shah Alam dan Kuala Lumpur.

Kami berasa pihak Utusan berlaku tidak adil dengan restoran mamak kerana surat khabar sendiri boleh berbeza harga.

Inikan pula makanan yang kuantiti dan kualiti yang berbeza. Para pengusaha restoran adalah daripada majikan yang berbeza serta pengiraan belanja dan untung yang berbeza.

Contohnya, di gerai runcit menjual satu minuman tin dengan harga RM1.50 dan restoran menjualnya pada harga RM2 manakala hotel menjual RM10.

Ini menjelaskan bahawa produk yang sama boleh menghasilkan harga yang berbeza mengikut kapasiti pasaran dan persekitaran.

Ruangan kartunis mamak cyber yang sering mewujudkan perbualan berkenaan perkara-perkara semasa. Individu dalam ruangan tersebut menjadi satu penghinaan kepada warga India muslim.

Ini kerana cara berpakaian dan penampilan yang ditunjukkan adalah sama sekali tidak mengambarkan keadaan sebenar.

Berdasarkan pemerhatian kami, dalam laporan 17 Jun, Datuk Dr Jacob George menuduh bahawa restoran mamak menaikkan harga makanan dan minuman adalah kerana rasuah yang berlaku.

Tuduhan ini dilemparkan secara terbuka yang mana kesemua pengusaha juga turut terkena tempias di atas sikap kurang profesionalisme beliau.

Seharusnya tuduhan seperti ini perlu dipastikan kesahihannya sebelum diterbitkan oleh pihak Utusan Malaysia.

Setiap kesalahan yang melibatkan restoran mamak diletakkan secara umum tanpa ada pengkhususan dan mangsa yang lebih tepat.

Semua masalah akan dinyatakan dalam artikel dengan tajuk “Restoran Mamak”, perkataan ini adalah bersifat umum sehingga melibatkan semua pengusaha restoran walaupun mereka tidak bersalah.

Seharusnya mereka bersifat telus dengan menyatakan majikan ataupun pihak yang bersalah secara terus.

Kami menuntut Utusan mengambil tindakan tegas ke atas setiap tulisan yang dikeluarkan tanpa tapisan yang teliti sehingga mewujudkan ketegangan perpaduan kaum di Malaysia.

 

Merujuk kepada fakta-fakta kes yang berlaku diatas jelas ia mengganggu-gugat ketenteraman dan perpaduan kaum di Malaysia.

Kami mewakili seluruh warga India Muslim untuk menuntut agar setiap pengarang dikenakan tindakan tegas kerana tidak menitik beratkan sensitiviti kaum dan bangsa.

Jangan libatkan semua pengusaha India Muslim atas kesalahan yang dilakukan oleh seseorang individu.

Sesuatu kesalahan yang melibatkan individu tertentu tidak seharusnya melibatkan semua pihak. Kebanyakan artikel yang ditulis adalah bersifat umum iaitu dengan menulis “Restoran Mamak” tanpa ada pengkhususan tertentu.

Setiap kesalahan yang berlaku pasti ada pesalahnya, maka ia perlu dinyatakan secara jelas siapakah pesalah sebenar dalam sesuatu kesalahan.

Selain itu, kami juga menuntut agar semua kenyataan dan artikel yang dikeluarkan harus ditarik balik semula secepat mungkin. Kenyataan maaf secara terbuka harus dikeluarkan dalam tempoh tujuh hari bagi meredakan keadaan yang semakin tegang di kalangan masyarakat India Muslim.

Jika tidak berlaku seperti yang dinyatakan, maka kami juga tidak akan teragak-agak untuk meminta semua warga India Muslim yang menjadi antara vendor utama kepada jualan akhbar utusan agar tidak lagi menjual akhbar berkenaan di premis masing-masing.

Setiap kenyataan dan artikel yang dikeluarkan harus menjaga sensitiviti dan perpaduan kaum di Malaysia.

Selaras dengan Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984, apa juga bentuk rencana yang bersifat prejudis kepada sesuatu kaum atau agama serta boleh mengugat keselamatan negara dan ketenteraman awam adalah dilarang.

Selain itu, Hasil Penerbitan Tak Diingini yang digariskan di bawah Seksyen 7(1) Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984 juga mengariskan, akhbar tidak boleh memudaratkan ketenteraman awam iaitu menggalak perasaan niat jahat, perseteruan, permusuhan, kebencian, prasangka buruk terhadap orang atau kaum lain.

Maka setiap rencana yang dikeluarkan perlu ditapis dengan teliti agar tidak bertentangan dengan Akta Penerbitan dan Mesin Cetak 1984.

Kami menaruh harapan yang besar agar tuntutan ini dapat dilaksanakan dan diambil tindakan segera serta hak warga India Muslim tertunai dan terbela dengan selayaknya.


NOORUL HASSAN SAUL HAMEED pengerusi Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia.