Dewan Pemuda PAS Ipoh Timur mengharapkan pihak berkuasa dapat bertindak tegas terhadap penjualan mercun dan bunga api yang berleluasa di sepanjang bulan Ramadhan ini.

Bazar Ramadan adalah lokasi utama yang paling strategik untuk para penjual menjalankan jualan pelbagai jenis mercun termasuklah yang mempunyai risiko tinggi.

Hasil daripada pemerhatian kami, seolah-olah tidak menjadi satu kesalahan kepada mereka untuk menjalankan aktiviti jual beli secara umum kepada masyarakat.

Peniaga mercun dan bunga api dilihat bebas menjual bahan larangan itu tanpa rasa bimbang atau takut dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa.

Kami melihat, jualan mercun dan bunga api seperti dihalalkan dan dibolehkan oleh pihak berkuasa apabila saban tahun penjualannya masih gagal dibanteras.

Suasana ini sangat mendukacitakan apabila masyarakat sentiasa didedah dengan bahan letupan yang merbahaya khususnya kepada kanak-kanak.

Saban tahun, kejadian yang tidak diingini disebabkan mercun dan bunga api sentiasa berlaku terutama dalam kalangan kanak-kanak hingga mengakibatkan kecederaan parah.

Pemuda PAS Ipoh Timur mengharapkan kerajaan melalui pihak berkuasa dapat meningkatkan pemantauan penjualan mercun di khususnya di bazar Ramadan dan premis di seluruh negeri ini.

Pemantauan itu perlulah disusuli dengan tindakan yang tegas jika penjual didapati bersalah menjual barangan yang merbahaya serta melanggari undang-undang.

Pihak berkuasa perlu bekerjasama dengan pihak majlis daerah yang menguruskan premis serta tapak bazar bagi menghalang penjualan mercun dan bunga api kepada masyarakat.

Kami yakin penjualan mercun dan bungai api ini akan berjaya dibanteras jika pihak kerajaan melalui agensinya lebih serius dan bertanggungjawab untuk menanganinya.


MUHAMMAD RAHMAT MOHAMED ZULKIFLI naib ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur.