Rombakan Kabinet langkah bijak PM
Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor (DPPMS) ingin menyatakan sokongan terhadap barisan kepimpinan Kabinet baharu yang telah diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak baru-baru ini.
Kami yakin bahawa, dengan barisan kepimpinan yang sedia ada termasuklah gabungan muka-muka baharu, segala perancangan, dasar dan polisi kerajaan akan dapat dilaksanakan dengan lebih lancar dan efisyen.
DPPMS juga ingin mengucapkan tahniah kepada Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di atas pelantikan beliau sebagai timbalan perdana menteri yang baharu.
Sebagai seorang tokoh yang terbukti mempunyai semangat jati Melayu yang tinggi, pelantikan beliau adalah tepat dan mampu membantu perdana menteri untuk menerajui tampuk tertinggi kepimpinan negara.
Pelantikan beberapa muka baharu dan muda di dalam barisan kabinet baru ini diharap dapat menyuntik semangat yang lebih segar dalam jentera kepimpinan dan pentadbiran negara.
Selain dapat memberi impak positif dengan adanya semangat dan jiwa muda, lantikan mereka juga dapat memberikan keseimbangan di dalam barisan pentadbiran sedia ada.
Idea-idea bernas dan mampan mampu diterjemahkan bagi kepentingan dan kesejahteraan rakyat Malaysia seluruhnya.
Selaku pertubuhan bukan kerajaan yang berorientasikan ekonomi, DPPMS juga turut menyokong sepenuhnya pelantikan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan untuk menerajui Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Dengan adanya gabungan dua menteri ini, diharapkan agar segala pendekatan dan polisi baharu yang bakal dilaksanakan akan dapat merancakkan lagi ekonomi sama ada di dalam negeri mahupun di peringkat antarabangsa untuk lebih berdaya saing dan maju.
Dengan barisan kepimpinan Kabinet yang baharu ini, adalah diharapkan supaya peluang-peluang perniagaan dapat disediakan khususnya dari pelbagai sektor perkhidmatan, pembangunan, pertanian dan hasil tani kepada peniaga dan pengusaha Melayu dan Bumiputera di negara ini.
DPPMS juga ingin merakam ucapan penghargaan kepada mantan timbalan perdana menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang selama ini telah berkhidmat dengan cemerlang dalam membantu membangunkan peluang ekonomi kepada para peniaga dan pengusaha Bumiputera menerusi kementerian masing-masing.
Sesungguhnya DPPMS percaya bahawa dengan pembentukan barisan kepimpinan Kabinet yang baru, ini merupakan langkah bijak dari YAB Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
Ia akan membentuk satu barisan pelapis pemimpin negara bagi memastikan kesinambungan kecemerlangan kepimpinan negara dapat dikekalkan dan akan terus menjana keharmonian dan perpaduan antara kaum demi kesejahteraan bumi Malaysia yang tercinta ini.
TAN SRI ROZALI ISMAIL yang dipertua Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu Selangor.

