Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Dalam buku terbaru saya, 'Islam dan Kepelbagaian: Rahmat Untuk Semua' (terbitan ILHAM Books), saya memperkenalkan konsep rahmah, prinsipnya dan pendekatan untuk membawa nilai ini dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.

Buku ini tidak hanya membahaskan dari sudut teori dan falsafah, bahkan saya membawanya kepada dalam konteks realiti fiqh Malaysia dan bagaimana ianya seharusnya berinteraksi.

Oleh kerana asas politik Islam adalah memacakkan pengertian rahmah sebagai wahana interaksi dan formula membuat dasar-dasar pemerintahan maka artikel ini akan fokus kepada aspek siasah syariah yang diperjuangkan oleh Gerakan Harapan Baru (GHB) dalam merealisasikan maqasid syariah yang menjadi teras kepada syariat Islam.

Rahmah membawa segala maksud kebaikan dan pemberian yang membawa kesejahteraan. Bagi Allah, kemuncak rahmat-Nya adalah memberikan keampunan. Dengan itu kerahmatan-Nya mendahului kemarahan-Nya dalam hubungan manusia dengan Allah.

Bagi hubungan sesama manusia pula, rahmah bermakna memberikan kebaikan dan kesejahteraan melalui kesantunan dan memaparkan keramahan.

Nabi Muhammad mensifatkan dirinya sebagai nabi ar rahmah. Allah menggambarkan Nabi-Nya sebagai rahmatan lil alamin (Al Anbiya: 107). Sifat menyantun, sifat ramah menuntut GHB membumikannya dalam struktur organisasi, dasar yang hendak diperjuangkan dan budaya interaksi dalam suasana suhu meninggi politik Malaysia dan antarabangsa.

Islam adalah untuk semua berpandukan kepada hadis yang menyebut bahawa ciri perbezaan Nabi Muhammad berbanding dengan Risalah Anbiya sebelumnya adalah sifat kaffatan lin nas (untuk keseluruhan bangsa manusia) sedangkan sebelumnya adalah khassatan lil qaum (hanya untuk kaumnya sahaja).

GHB tidak boleh lagi berdolak dalik atas prinsip ini dan untuk membumikannya dalam struktur organisasinya maka ia mesti membuka keahlian untuk semua warganegara yang layak dan pasti.

Setiap warganegara yang layak menjadi ahli perlu meyakini dasar yang dipegang oleh GHB iaitu Islam walaupun seseorang ahli GHB itu tidak semestinya menganut agama Islam.

Islam pada hakikatnya dan sumbernya hanyalah satu berpandukan kepada inna addin inda Allah al Islam (agama di sisi Allah hanyalah Islam) namun penafsiran Islam itu dipertontonkan oleh individu dan jemaah Islam terjelma dalam pelbagai rupa dan bentuk.

Dunia keliru apakah perwatakan sebenar Islam. Adakah ianya keras dan marah-marah? Ataupun ianya cair dan longgar-longgar? Atau Islam itu agama makian dan cacian pada yang tidak menyokong pandangannya dan jemaahnya?

Islam yang menjadi inspirasi GHB ialah cirinya syamilah atau tadhamuniyah iaitu konsep keterangkuman. Dari dasar politiknya GHB mesti memperjuangkan nasib semua bangsa dan kaum serta pelbagai agama di negara ini serta menyantuni semua peringkat strata sosial dan mengambil kira pelbagai aspek kesan keputusan politiknya.

Keterangkuman menuntut gaya interaksi ramah melalui budaya dialog, perundingan dan laras bahasa yang menyantuni walaupun pada penentangnya. Keterangkuman juga menuntut isu yang diperjuangkan tidak eksklusif tetapi inklusif.

Persoalannya bukan sahaja soal agama tetapi juga ekonomi, pendidikan, sosial, budaya, perundangan dan antarabangsa. Keterangkuman juga melihat aspek perlaksanaan dengan mengambil kira perundangan negara, kerangka sistem politik tempatan dan antarabangsa.

Alat memahami dan membuat pertimbangan itu dalam siasah syariah ialah timbang kira kesan tindakan yang diperuntukkan oleh Islam. Ini termasuk kepada kepada pelaksanaan Islam dengan mengikut perundangan seperti hudud dan lain-lain.

GHB perlu berani mendepani pendekatan ini dan harus mempertahan prinsip siasah syariah tanpa perlu terdesak dan tertekan oleh Islam yang dibawa oleh sesetengah kelompok yang tidak boleh bertolak ansur kerana jahil tentang khazanah siasah syariah.

Syariah perlu dilihat dalam kerangka yang mendepani persoalan kehidupan secara keseluruhan dan bukan sahaja soal undang-undang semata-mata.

GHB perlu membawa Islam dengan ciri manusiawi yang berpandukan kepada kemuliaan insan yang dianjurkan melalui surah Al Isra ayat 70. Dasar yang muncul dari prinsip ini ialah mempertahankan hak.

Ia boleh jadi dalam mempertahankan hak yang diperuntukan dalam perlembagaan negara seperti Islam sebagai agama rasmi negara, hak agama lain untuk diamalkan dengan bebas, hak sama rata dalam mendapat keadilan seperti artikel 8 Perlembagaan Persekutuan, serta hak keistimewaan Melayu dan Bumiputera Sabah Sarawak.

Kesemua hak itu lahir daripada kemuliaan insan yang cuba dipelihara oleh perlembagaan negara. Ini termasuk hak berhimpun dan berorganisasi serta memberikan pandangan adalah kebebasan yang perlu dipertahankan bukan disekat. Hak asasi manusia perlu juga diagendakan oleh GHB dan perlu punya ketetapan sikap Islam yang syamilah dalam melanggani persoalan besar ini.

Penetapan kepada piawaian akhlak yang dianjurkan oleh Islam perlu dijalankan melalui pendidikan dan dakwah bukan menggunakan kekerasan dan semata-mata penguatkuasaan.

Lingkungan masalah akhlak terbahagi kepada ruang awam dan ruang peribadi. Hanya apabila ruang awam dicerobohi maka penguatkuasaan undang-undang yang sedia ada perlu digunakan. Selagi perilaku akhlak yang tidak mengikut piawaian Islam dilakukan secara ruang peribadi maka kesalahannya adalah antara pelaku dan Allah.

Jika kita mengetahui perbuatannya yang dilakukan dalam ruang peribadinya maka hendaklah menasihatinya dengan cara baik semoga ia menjadi orang Islam yang baik.

Dosa yang ditetapkan oleh syariat atas perbuatan tertentu tetap berdosa dan Allah membuka ruang untuk istighfar dan bertaubat. Namun  apabila ia lakukan secara terang-terangan ataupun secara tertutup maka penguatkuasaan adalah berdasarkan kepada peruntukan undang-undang yang ada.

GHB perlu tegas dalam meletakkan persoalan akhlak ini agar Islam itu tidak dijadikan alasan sebagai unsur pemaksaan tetapi perlu lebih banyak mendidik dan menunjukkan contoh yang baik.

Penerimaan wujudnya kepelbagaian adalah ciri Islam rahmah dan ramah yang mesti diusung oleh GHB. Kenyataan bahawa Allah menciptakan alam ini dan segala isi kandungannya dalam kepelbagaian adalah satu tanda kebesaran pencipta.

Di sebalik kebenaran yang diimani oleh umat Islam, ia tidak mewajarkan kebencian hubungan antara agama. Mudahnya, prinsip tiada paksaan adalah manifestasi kepada penghayatan Islam yang rahmah dan ramah.

Memberikan hak kebebasan beragama adalah sebab kenapa Islam berkembang kerana Islam mengajar kita bahawa hanya Allah sahajalah yang memberi hidayah. Interaksi yang wujud ialah berdialog dan berhujah dengan cara yang bertamadun.

HB tidak boleh berkompromi dengan mengizinkan dirinya dibawa arus hanyut dari fahaman agama yang dogmatik serta yang memaksa-maksa manusia.

Siasah Syariah adalah disiplin yang membicarakan tindak-tanduk pentadbiran sesebuah negara berpandukan kepada prinsip syariat mengikut ketentuan semasa untuk mencapai maslahat kepada orang ramai yang dipimpin.

Tugas sebuah pemerintahan adalah memberi kehidupan yang selesa, ketetapan perundangan, penetapan cara memerintah dan menjaga keamanan dalam dan luar negara dari diancam.

Ia perlu dijalankan dengan mengambil kira kaedah yang boleh berubah mengikut sifat hukum sama ada wujud atau tiada ataupun mengikut kaedah yang melihat kesan tindakan sama ada akan membawa mudarat atau maslahat. Ia juga perlu melihat keutamaan dalam mempertimbangkan perlaksanaan perintah Allah.

GHB yang bakal menjadi platform politik untuk memerintah negara perlu ada sikap yang akan membentuk dasar yang boleh melaksanakan kebijakan tertentu.

Model negara yang digagaskan ialah negara madani, budaya politik yang dibawanya ialah Demokrasi, dasar pendidikannya ialah pendidikan rakyat, ekonomi yang digagaskan ialah menggarap jurang ketaksamaan manakala dasar sosialnya ialah peluang sama rata.

Begitu juga dasar buruhnya ialah pekerjaan dan produktiviti manakala dasar hijaunya ialah kelestarian dan tenaga boleh diperbaharui. Dasar hubungan antara agamanya ialah memelihara hak dan berdialog.

Ini antara contoh kepada tawaran yang bakal menentukan negara yang akan dibentuk selagi ianya tidak bercanggah dengan prinsip syariah dan membawa maslahat terbaik untuk semua.

Soal Islam dalam kerangka negara mestilah ditetapkan oleh peruntukan perlembagaan dan perundangan yang ada. Segala percanggahan dengan Islam dalam kerangka syariah perlu ditangani dengan kebijaksanaan siasah syariah.

Jikalau sesuatu perkara tentang Islam memerlukan untuk dilontarkan dalam ruang lingkup  pemerintahan maka hendaklah ianya diluluskan mengikut lunas demokrasi sebagai keabsahan sebagai sebahagian daripada polisi negara.

Percanggahan yang dilihat antara syariah dan Islam perlu ditangani secara objektif dan bukan emosi dan semua pihak perlu mencari jalan terbaik melalui proses demokrasi, dialog, pendidikan dan desakan yang diizinkan.

Penolakan atau perbahasan dalam kerangka negara isu Islam seharusnya tidak dilihat “menentang syariat Allah” tetapi ia perlu dilihat dalam bingkai kekangan peruntukan perundangan negara yang memerlukan proses demokrasi untuk menjayakannya. Inilah yang membezakan pembawaan Islam secara politik dan Islam secara kekerasan.

Siasah syariah juga menetapkan suasana setempat sebagai faktor utama mendefinisikan tindakan-tindakan politik. Malaysia memerlukan satu ketetapan tentang suasana setempat dalam menentukan tindakan yang tidak bercanggah dengan prinsip syariah.

Dalam menetapkan panduan syariat dalam pemerintahan, perlu dilihat suasana masyarakat majmuk. Ini kerana, jumlah wakil dalam Parlimen Malaysia yang membahaskan isu Islam tidak sama semangatnya dengan keanggotaan ahli parlimen yang majoritinya adalah muslim.

Hubungan ini perlu lebih dipelihara berbanding keperluan lain kerana hubungan antara agama di Malaysia berpotensi untuk menjadi tegang.

Dengan kata lain GHB perlu menyediakan tapak untuk membentuk kaedah fiqh Malaysia mengikut kesesuaian suasana setempat.

Siasah syariah menetapkan kerangka perlembagaan negara sebagai realiti yang membentuk kedaulatan sesebuah negara hari ini. Perlembagaan Persekutuan mendefinisikan premis warganegara sebagai satu hak yang dilindungi.

Muslim vs bukan Muslim dalam pandangan premis ini sama sahaja, oleh kerana itu persoalan warga Muslim vs kafir harbi atau zimmi sudah tidak relevan lagi dalam Perlembagaan Persekutuan.

Diskriminasi agama atau kaum dilarang sama sekali dalam Perlembagaan Persekutuan dan HB perlu tegas dalam menetapkan prinsip ini dalam suasana bentuk politik Malaysia yang berteraskan etnik dan ras.

HB perlu tamatkan politik perkauman dengan menjanjikan Malaysia sebagai bebas perkauman jika ia ambil alih dan perlu menetapkan agendanya ke arah itu.

Sememangnya tidak mudah untuk mendatangkan sesuatu yang baru apatah lagi jika usaha ini adalah sesuai dengan tuntutan Islam. GHB terpaksa berhadapan dalam medan falsafahnya terlebih dahulu kerana di sinilah pertembungan hebat berlaku antara kelompok Islam yang beroperasi di seluruh dunia.

Malaysia perlu membuktikan bahawa politik Islam adalah sesuatu yang mungkin dan boleh berlaku melalui proses demokrasi.

Namun ia mungkin memerlukan parti berteraskan Islam merombak cara ia berfikir dan cara ia beroperasi dalam satu usaha pembaharuan dan islah untuk meyakinkan dunia bahawa islam rahmah dan ramah melalui khazanah siasah syariah adalah kunci kepada realiti ini.

Sebagaimana firman Allah:

“Dan tiadalah Kami mengutus kamu, melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam”. (Al-Anbiyah: 107)

DATUK MUJAHID YUSOF RAWA MP Parit Buntar ahli jawatankuasa pengurusan HB.

Lihat Komen
ADS