Ikutlah seruan Yusuf Al-Qaradhawi
Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merujuk kepada surat terkini oleh ulama tersohor dunia Islam, Yusuf Al-Qaradhawi kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sesungguhnya surat hadir tepat pada saat dan ketika meruncingnya pelbagai krisis di negara ini.
ABIM menyokong penuh seruan Yusuf Al-Qaradhawi kepada Yang di-Pertuan Agong, untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari hukuman penjara yang sedang beliau jalani pada ketika ini.
ABIM menggesa agar seruan ini turut diikuti oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, selaras sepertimana yang diinginkan oleh Tokoh Maal Hijrah 2009 itu.
ABIM menilai gesaan ini mampu merungkai kekusutan politik yang dihadapi rakyat negara ini semenjak 1998. Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan insan yang banyak berjasa kepada umat Islam di negara ini serta peringkat antarabangsa.
Kesaksian Yusuf Al-Qaradhawi hanya merupakan sebahagian daripada pengiktirafan para ulama serta ilmuwan dunia Islam terhadap jasa serta peranan beliau.
Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada pelbagai tuduhan liar serta kotor (yang meragukan) ini juga merupakan pintu yang dapat mengundang rahmat dan keberkatan ke atas negara ini.
Merujuk kepada surat beliau, ABIM menggesa agar amalan keterbukaan politik dapat dibudayakan di negara ini secara serius.
Ini kerana menurut Yusuf Al-Qaradhawi peranan pihak pembangkang adalah satu komponen penting dalam amalan demokrasi kerana ia merupakan teras keamanan yang mampu memelihara keutuhan serta kestabilan sesebuah negara.
Keterbukaan ini juga menurut beliau mampu mengelakkan generasi muda daripada terjebak ke aliran pemikiran yang melampau dan ekstrem.
Sesungguhnya seruan ulama tersohor (untuk membebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan menerapkan amalan politik terbuka) ini sangat tepat pada saat dan ketikanya.
Seruan Yusuf Al-Qaradhawi ini merangkumi pelbagai hikmah berupa kebaikan dan kebaikan untuk negara ini sekiranya ia terjemahkan serta dipatuhi menjadi sebuah kenyataan.
AMIDI ABD MANAN presiden ABIM

